Pengampunan: Najib dibenarkan hadir dan berhujah

Pengampunan: Najib dibenarkan hadir dan berhujah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk hadir sebagai responden putatif kedua dan berhujah dalam semakan kehakiman oleh Badan Peguam yang mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman dan dendanya.

Dengan kebenaran tersebut, Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibolehkan berhujah dalam permohonan ex-parte (sebelah pihak) mendapatkan kebenaran oleh Badan Peguam selaku pemohon.

Responden putatif merupakan pihak yang tidak sepatutnya hadir pada peringkat tertentu dan tidak mempunyai hak untuk merayu sekiranya keputusan tidak berpihak kepada mereka.

Kehadiran Jabatan Peguam Negara (AGC) pada peringkat kebenaran adalah dibenarkan pada peringkat kebenaran.

Terdahulu, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memberi kebenaran tersebut atas dasar keadilan dan kepentingan awam selepas mendengar hujahan ringkas daripada pihak-pihak terlibat.

Pada prosiding semalam, Badan Peguam diwakili peguam, Zainur Zakaria dan Yeoh Yang Poh manakala Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang dinamakan sebagai responden pertama diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

“Selepas mendengar hujah, saya memberikan kebenaran kepada responden kedua untuk dibawa masuk sebagai responden putatif kedua pada peringkat ini (permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman).

“Seperti yang dijelaskan oleh Peguam Kanan Persekutuan, hari ini (semalam) merupakan sebutan kali pertama peringkat kebenaran dan pihak-pihak te­lahpun bersedia dengan hujah masing-masing. (Bagaimanapun) atas dasar keadilan, saya tangguhkan prosiding hari ini bagi membolehkan responden putatif kedua memfailkan hujahan-hujahan dan menyerahkannya kepada pemohon (Badan Peguam) dan AGC.

“Pihak pemohon dikehendaki menyerahkan segala kertas kausa dan hujahan-hujahan bertulis yang telah difailkan di mahkamah kepada responden putatif kedua dan begitu juga dengan pihak AGC. Pihak responden putatif kedua pula dikehendaki untuk memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balasan bertulis terhadap hujahan pemohon dan AGC,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian me­netapkan 18 September ini untuk pendengaran permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan berkenaan, Badan Peguam memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah, sehubungan itu ia memohon perintah certiorari terhadap lembaga terbabit untuk membatalkannya.

Selain itu, badan tersebut mahu injunksi kekal menghalang Najib selaku responden kedua atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dan melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadapnya selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×