AKTIVITI riadah musim sejuk tidak dapat dinikmati di Malaysia melainkan jika berkunjung ke gelanggang ais di pusat beli-belah.
Mungkin ramai yang ingin mencuba aktiviti ini tetapi risau tersungkur selain tiada peralatan yang sesuai.
Jangan lepaskan peluang meluncur di Sunway Pyramid Ice yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutama bagi golongan yang pertama kali mahu mencuba.
Aktiviti ini juga sesuai untuk kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas sekali gus menjadikan hari minggu sekeluarga penuh dengan kemeriahan.
Mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya bolehkah mereka masuk semata-mata untuk tengok dan memberi sokongan kepada si kecil.
Usah bimbang kerana pas pelawat berharga RM5 disediakan bagi mereka yang ingin masuk tanpa meluncur.
Tiada alasan untuk ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka mencuba pengalaman bermain sukan lasak musim sejuk ini.
Gelanggang ais sepanjang 39 meter dengan lebar 22 meter ini mampu menampung sehingga 250 pelawat dalam satu masa.
BIMBINGAN JURULATIH
Tidak hanya menumpukan kepada aktiviti santai tanpa kepakaran, pihak Sunway turut menyediakan jurulatih bagi yang ingin mempelajari teknik meluncur ais yang betul.
Kesemua mereka adalah di bawah Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid.
Harga yang dikenakan bermula dari RM100 dan hingga RM675 bergantung kepada pakej.
Sehingga kini, akademi tersebut telah berjaya melatih hampir 22,000 pelajar sejak ditubuhkan 27 tahun lalu.
Antara bintang yang berjaya dilahirkan sehingga mendapat tempat di mata dunia adalah Julian Yee yang juga peluncur Olimpik pertama negara.

GELANGGANG PERTANDINGAN
Lokasi gelanggang yang terletak dalam pusat beli-belah Sunway Pyramid ini merupakan antara tarikan bagi pengunjung yang hadir.
Selain terbuka untuk orang awam menjalankan aktiviti, gelanggang tersebut turut dijadikan pentas pertandingan berprestij bagi acara figure skating.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga ke lima hari itu pula terbuka kepada tontonan umum.
Antara program terbesar yang pernah dijalankan adalah Skate Malaysia 2024, dengab melibatkan seramai 600 atlet dari seluruh dunia.
Acara tersebut berterusan selama lima hari bermula 26 hingga 30 Jun lalu.










