'Sampai hati bunuh anak ibu' - Utusan Malaysia

‘Sampai hati bunuh anak ibu’

HAIRIL Anaas Abdullah dihadapkan di Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh hingga menyebabkan kematian isterinya di sebuah hotel di Batu Gajah dua minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: “Sampai hati kamu bunuh anak ibu, anak ibu baik dengan kamu”.

Itu kekecewaan yang diluahkan Rozita Radzuan, 56, kepada menantunya, Hairil Anaas Abdullah, 37, ketika lelaki terbabit yang didakwa atas tuduhan membunuh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini hari ini.

Dalam keadaan longlai sambil dipapah ahli keluarga, ibu kepada Allahyarham Nisya Syahkila Shaharun, 32, itu tidak mampu menahan sebak mengenangkan perlakuan kejam lelaki tersebut terhadap anaknya.

“Sampai hati kamu, sanggup kamu bunuh anak ibu, Nisya baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu,” ujar ibu kepada enam anak itu.

Hairil Anaas yang berpakaian baju-T biru dan tangan bergari itu bagaimanapun hanya mendiamkan diri sambil menundukkan kepala.

Terdahulu, Hairil Anaas yang merupakan penganggur didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nisya Syahkila di sebuah hotel di Batu Gajah antara pukul 7.30 pagi hingga 2 petang, 20 Jun 2024.

Tertuduh mengangkuk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menerusi laporan media pada 20 Jun lalu, seorang wanita berusia 32 tahun ditemukan mati dengan kesan tikaman di badan dalam sebuah bilik hotel di sini.

Kejadian malang itu terbongkar selepas seorang lelaki yang juga suami mangsa tampil menyerah diri kepada polis sekitar pukul 2 petang hari yang sama.

Siasatan awal mendapati, motif suspek melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang mahu meneruskan tuntutan fasakh walau pun setelah dipujuk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×