PETALING JAYA: Polis mengingatkan orang ramai tidak terlibat dalam penyebaran bahan-bahan bukti bagi mengelakkan spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang dalam penyebaran beberapa gambar mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat pegawai kanan berkaitan penyebaran bahan bukti tersebut pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini.
Terdahulu, penyebaran beberapa gambar didakwa mayat Zayn Rayyan tular di media sosial akan disiasat polis.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu laporan polis dibuat pegawai penyiasat kes susulan penularan didakwa gambar bahan bukti kes berkenaan.
Terdahulu, tiga gambar memaparkan keadaan Zayn Rayyan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, dimuat naik di aplikasi Telegram sejak malam tadi.
Sebelum itu tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi sama.- UTUSAN










