KUALA LUMPUR: Permohonan syarikat penerbangan, MYAirline Sdn. Bhd. untuk membatalkan saman oleh Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB) yang menuntut tunggakan caj perkhidmatan berjumlah RM17.7 juta akan diputuskan pada 16 Ogos ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Gan Techiong menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini semalam.
Pada 24 November 2023, MYAirlines memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan plaintif-plaintif sepatutnya membawa tuntutan tunggakan itu melalui rundingan sebagaimana yang peruntukkan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.
Sehubungan itu, tuntutan plaintif melalui mahkamah adalah tidak sah atau pramatang kerana Malaysia Airports (Sepang) dan MASB tidak mematuhi dan tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang sewajarnya.
Pada 18 Oktober 2023, plaintif, Malaysia Airports (Sepang) dan MASB memfailkan saman itu selepas MYAirline yang dinamakan sebagai defendan gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan berjumlah RM17,747,553.02.
Caj tertunggak itu didakwa membabitkan perkhidmatan penumpang (PSC) dan perkhidmatan keselamatan penumpang (PSSC) berjumlah RM10,863,478.90; pendaratan (RM5,445,555,45), tempat letak pesawat (RM176,017.92), aerobridge (RM655,760), kaunter daftar masuk (RM267,367) dan pembayaran lewat (RM339,373.72).
Jumlah tunggakan itu didakwa tidak pernah dipertikaikan oleh MYAirlines selepas menerima kandungan invois dan penyata akaun.
Oleh itu, Malaysia Airports (Sepang) dan MASB antara lain menuntut pembayaran caj yang tertunggak, ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 9 November 2023, Malaysia Airports (Sepang) dan MASB turut memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman terus bagi jumlah yang sama namun mahkamah memutuskan untuk mendengar permohonan untuk membatalkan saman terlebih dahulu.
Penghakiman terus itu dimohon atas alasan wang yang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.
Penghakiman terus merupakan tuntutan saman yang diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan.










