KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkasa pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Pendidikan Islam pada peringkat sekolah rendah dan menengah melalui pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya komited mengangkat martabat tulisan jawi dengan memperkenalkan bidang pembelajaran jawi pada peringkat sekolah rendah dan menengah melalui mata pelajaran Pendidikan Islam.
Katanya, pembelajaran tulisan jawi pada peringkat sekolah rendah akan menekankan kemahiran literasi jawi selama dua tahun bagi murid Tahap 1 dan akan diteruskan lagi dengan pelbagai kemahiran tulisan jawi pada Tahap 2 dan Tahap 3.
“Pada peringkat menengah, kandungan pembelajaran tulisan jawi akan menekankan kepada pengukuhan dan pengayaan dalam kemahiran membaca dan menulis serta melestarikan tulisan jawi sebagai warisan budaya.
“Seterusnya, bagi memperkukuh penguasaan tulisan jawi dalam kalangan murid, modul literasi dan modul pengayaan turut akan digubal,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Sabri Azit (PN-Jerai) yang memintanya menyatakan sejauh mana tulisan Jawi dapat dikembalikan dalam peperiksaan di sekolah harian peringkat menengah atas setelah ditamatkan di peringkat menengah atas.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berharap pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dapat melahirkan murid yang mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam tulisan jawi.
“Di samping itu ia juga dapat memupuk rasa cinta terhadap tulisan jawi sebagai satu warisan budaya,” katanya. – UTUSAN










