Penduduk gesa medan selera Bandar Palong segera dibuka

Penduduk gesa medan selera Bandar Palong segera dibuka

Food Court Pusat Bandar Palong yang sepatutnya siap pada bulan Ogos tahun lalu masih belum boleh digunakan selain tidak dilengkapi kemudahan air serta elektrik. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Penduduk di Felda Palong 4,5 dan 6, di sini kecewa apabila kemudahan medan selera yang sepatutnya siap pembinaannya pada Ogos tahun lalu namun sehingga ini masih tidak boleh digunakan selain belum dilengkapi bekalan air dan elektrik.

Lebih mengecewakan mereka, medan selera yang dikenali dengan Food Court Pusat Bandar Palong itu juga belum diserahkan kepada mana-mana pihak untuk diuruskan selepas dibangunkan oleh agensi pelaksana iaitu Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.

Menurut seorang penduduk, Zalinah Mohamad, 54, berkata, jika perkara tersebut terus dibiarkan, kemudahan medan selera itu berisiko menjadi mangsa vandalisme.

“Saya sudah tinggal di sini sejak tahun 1987 lagi, memang belum pernah ada lagi medan selera di kawasan ini, oleh itu kemudahan yang ada jika beroperasi sudah tentu menjadi tumpuan penduduk.

“Kemudahan ini dapat menempatkan kira-kira 10 peniaga, ia tentu akan lebih meriah. dan penduduk juga akan mendapat tempias kemajuannya nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi Jamaludin Abd. Gani, 71, juga mengakui kecewa kerana sudah hampir setahun, kemudahan tersebut masih belum dapat digunakan oleh penduduk.

“Kami kecewa, kasihan apabila ada peniaga yang sememangnya berminat untuk berniaga di sini namun masih belum dapat memanfaatkan kemudahan yang ada itu. Saya harap masalah ini akan dapat diatasi segera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata beliau turut terkilan apabila kemudahan yang berharga lebih RM400,000 itu masih gagal diserahkan kepada agensi di peringkat tanah rancangan berkenaan.

“PPN Negeri Sembilan perlu pantas memastikan medan selera ini dapat beroperasi. Patutnya hujung tahun lalu atau awal tahun ini, namun sehingga hari ini isu ini masih belum selesai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×