Kelas renang percuma untuk murid B40

Kelas renang percuma untuk murid B40

KHOO POAY TIONG (kiri) dan Raymond Ho (tiga dari kiri) dalam sidang akhbar KLAS Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 40 murid berusia enam hingga 12 tahun daripada keluarga B40 akan mengikuti Kelas Latihan Asas Sukan (KLAS) Parlimen Kota Melaka secara percuma, bulan depan.

Program tersebut merupakan inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Melaka serta Persatuan Jurulatih Renang dan Perenang Malaysia (Maswim).

Program yang berlangsung pada 14, 21 dan 28 Julai itu melibatkan dua sesi latihan setiap minggu melibatkan 20 kanak-kanak pada setiap sesi.

Naib Pengerusi Maswim, Raymond Ho berkata, para peserta akan menerima pakaian renang, cermin mata, tuala dan insurans keselamatan secara percuma.

“Seramai empat tenaga pengajar akan mengajar 27 silibus kemahiran asas renang kepada para peserta. Mereka terdiri daripada individu yang berpengalaman dan berkelayakan.

“Tiga objektif utama kelas ini adalah mengajar asas renang, boleh menyelamatkan diri ketika lemas dan cara pengendalian yang betul sekiranya berlaku insiden kecemasan di dalam air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berharap inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan ibu bapa B40 untuk menghantar anak mereka belajar asas renang.

Katanya, kelas tersebut untuk keluarga yang menetap dan pengundi di kawasan Parlimen Kota Melaka serta berpendapatan tidak lebih RM4,840 sebulan.

“Peserta mestilah tidak tahu berenang, minat berenang dan bukan orang kurang upaya (OKU). Diharapkan program rintis ini dapat membantu mengurangkan kadar kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak.

“Sekiranya maklum balas yang diterima menggalakkan dan mempunyai peruntukan lebih, saya akan mengadakan lebih banyak kelas seperti ini pada masa hadapan termasuk untuk warga emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×