KLANG: “Tertuduh yang mempunyai kecerdikan patut melayan mangsa secara waras dan bukannya emosional. Pembantu rumah juga manusia dan bukannya punching bag untuk dilepaskan geram dan dipukul hanya kerana alasan lembab,”.
Demikian kata Hakim Zulqarnain Hassan di Mahkamah Sesyen di sini, ketika menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap seorang akauntan atas pertuduhan mengekploitasi dan mencederakan pembantu rumahnya, tiga tahun lalu.
Selain itu, tertuduh, R. Vigneswary, 37, didenda RM12,000 dan diperintah membayar pampasan RM55,000 kepada mangsa yang juga wanita warga Indonesia berusia 55 tahun.
Zulqarnain dalam penghakimannya berkata, mahkamah telah mempertimbangkan semua perkara dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan tertuduh.
“Jelas terdapat kecederaan dan kesakitan pada mangsa yang dilakukan secara kerap sama ada di kepala, leher, telinga serta pahanya.
“Selain tidak dibayar gaji, perbuatan mencederakan mangsa adalah jenayah.
Sebagai wanita, tertuduh perlu menghormati mangsa yang lebih berusia dan sama seperti kaum ibu lain,” katanya di akhir kes pembelaan itu.
Berdasarkan empat pertuduhan, Vigneswary yang juga ibu kepada empat anak didakwa mendatangkan kecederaan kepada Rosmalina di bahagian pinggul peha, telinga, kepala dan leher.
Selain itu, tertuduh didakwa menggunakan benda hangat iaitu sudu besi panas di betis kaki kanan mangsa dan mengeksploitasi kerja paksa dengan menggunakan kekerasan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Setia Alam, Shah Alam antara Februari 2021 hingga Mei tahun sama.
Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan selain Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Peguam Tham Weng Kin memohon penangguhan pelaksanaan hukuman berikutan anak guamnya yang mempunyai masalah kesihatan perlu mencari wang untuk membayar denda serta pampasan mangsa.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Edna Lau Chia Xin membantah kerana tertuduh masih boleh menerima rawatan ketika menjalani hukuman di penjara.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan memerintahkan tertuduh membayar kesemua denda hari ini dan pampasan dalam tempoh enam bulan. – UTUSAN










