KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan sebanyak 1,261 notis kesalahan pembiakan aedes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan melalui tindakan penguatkuasaan Op Ugat-Ugat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
“Semua kesalahan pembiakan Aedes itu ditawarkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM198,500.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 110 premis telah diperiksa dan 82 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
“Jabatan sentiasa komited dan mengambil tindakan serius melalui aktiviti penguatkuasaan dengan peningkatan kes demam denggi di Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Antara premis yang diperiksa ialah tapak pembinaan, kedai tayar dan kawasan industri bertujuan mencegah serta mengawal penyakit demam denggi.
Jumlah kes demam denggi di seluruh negara meningkat kepada 2,900 bagi tempoh 9 hingga 15 Jun lalu dengan lima kematian direkodkan, berbanding 2,508 kes minggu sebelumnya.
Kumulatif kes demam denggi dilaporkan adalah 70,037 berbanding 54,139 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Kasemani berkata, dalam operasi ini, sebanyak lima premis dikesan menjadi tempat pembiakan aedes dan ditawarkan kompaun dengan nilai RM2,500.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes demam denggi dilaporkan meningkat di seluruh Terengganu iaitu sebanyak 125 kes berbanding 118 kes bagi tempoh yang sama tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 5.9 peratus pada Minggu Epid ke 25/2024. – UTUSAN










