KUALA TERENGGANU : Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sebanyak 1,261 notis kesalahan pembiakan Aedes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan melalui tindakan penguatkuasaan Ops Ugat-Ugat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
“Semua kesalahan pembiakan Aedes itu ditawarkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM198,500.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 110 premis telah diperiksa dan sebanyak 82 kesalahan telah dikesan melakukan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun 32,750.
“Jabatan sentiasa komited dan mengambil tindakan serius melalui aktiviti penguatkuasaan dengan peningkatan kes demam denggi di Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Antara premis yang diperiksa turut melibatkan tapak pembinaan, kedai tayar dan kawasan industri bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi.
Kasemani berkata, dalam operasi ini, sebanyak lima premis telah dikesan menjadi tempat pembiakan Aedes dan ditawarkan kompaun dengan nilai RM2,500.
“Untuk pengetahuan semua, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
“Orang ramai diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum bagi mencegah denggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes demam denggi dilaporkan meningkat di seluruh Terengganu iaitu sebanyak 125 kes berbanding 118 kes bagi tempoh yang sama tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 5.9 peratus pada Minggu Epid ke 25/2024.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes namun wabak itu masih terkawal selain tiada kematian direkodkan setakat ini. -UTUSAN










