KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim memfailkan saman pemula bagi menghentikan Pilihan Raya Kecil Dun itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.
Saman pemula difailkan Isnin lalu turut mencabar pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain esok.
Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selaku defendan.
Menurut afidavit yang difailkan oleh bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang itu, pindaan yang dibuat kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian seseorang akan dihentikan jika beliau menyokong saingan politik adalah tidak berperlembagaan.
Pada 19 Jun lalu, DUN Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula tarikh itu selepas menerima satu notis bertulis daripada Bersatu pada 13 Jun lalu yang antara lain menyatakan Mohd. Azizi telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN terbabit.
Mohd. Azizi dilucutkan keahlian dari Bersatu kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri sekali gus bercanggah dengan sasaran pucuk kepimpinan tertinggi parti.
Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Berdasarkan saman pemula tersebut, Mohd. Azizi antara lain memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi ADUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.
Beliau juga memohon perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.
Mohd. Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya.
Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat. – UTUSAN










