Abdul Rashid dakwa dapat sokongan Pas - Utusan Malaysia

Abdul Rashid dakwa dapat sokongan Pas

Abdul Rashid
ABDUL RASHID ASARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor didakwa mendapat sokongan daripada penyokong Pas.

Menurut Abdul Rashid, ahli-ahli Pas di kawasannya dikatakan memahami keputusannya memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan termasukklah ahli-ahli Parti Bersatu di bahagian Kapar.

“Ada juga orang-orang Pas yang mengatakan saya patut sokong kerajaan atas sebab-sebab (pernah dinyatakan sebelum ini),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Malah, bekas Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu memaklumkan tiada keperluan kepadanya untuk mengosongkan kerusi tersebut serta pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang dan mana-mana kawasan.

“Kalau tanya saya sekarang, sebenarnya tidak perlu diadakan PRK kerana selepas saya…keadaan sekarang di kawasan saya, selepas memberikan penjelasan kepada penduduk dan pengundi di kawasan, mereka faham dengan keadaan saya dan mereka ada yang menyokong.

“Jadi, pada saya keadaan di Selat Klang adalah seperti biasa dan tidak perlu ada PRK kerana bukan sahaja akan melibatkan perbelanjaan yang besar dan sebagainya, tetapi tidak perlu dari segi keadaan politik semasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Abdul Rashid menjadi salah seorang daripada tujuh wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dengan menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, tindakan beliau itu menyebabkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Weng San selepas notis gugur keahlian diserahkan kepada Abdul Rashid.

Sementara itu, berkaitan perkembangan kempen di PRK Sungai Bakap, Abdul Rashid menyatakan belum membuat sebarang keputusan untuk turun ke sana bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN).

“Saya belum buat keputusan lagi, sekiranya diperlukan saya akan pergi. Sebab pada mereka, saya bukan ahli jadi janganlah marah saya kalau saya pergi berkempen di Sungai Bakap, saya bebas. Pada mereka saya bukan lagi ahli dan saya bebas.

“Kalau mereka pandang saya sebagai seorang yang bebas, maka saya bolehlah berceramah di mana-mana (pentas),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×