Inspektor Sheila kekal dibicara atas tuduhan ugut, hina fizikal dan aib anggota polis

Inspektor Sheila kekal dibicara atas tuduhan ugut, hina fizikal dan aib anggota polis

SHEILA Sharon Steven Kumar hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bagi rayuan kes berkaitan pertuduhan mengugut, menghina fizikal orang awam dan mengaibkan anggota polis. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan seorang pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, kekal dibicarakan atas tiga pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan mengaibkan anggota polis.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membuat perintah itu selepas membatalkan tiga pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Selayang yang didaftarkan secara bertindih dengan tiga pertuduhan yang dikemukakan sebelum itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara membatalkan ketiga-tiga pertuduhan bertindan itu bagi mengekalkan integriti pertuduhan yang sedang dihadapinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mahkamah ini menggunakan kuasa sedia ada dan membuat perintah untuk membatalkan tiga pertuduhan yang didaftarkan secara berganda. Pihak-pihak boleh meneruskan (prosiding) dengan pertuduhan sedia ada di Mahkamah Majistret,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Sementara tu, peguam M. Manoharan yang mewakili wanita itu atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, memberitahu pihak media, tarikh sebutan ditetapkan di Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis ini.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, jelas terdapat pertuduhan sama yang dikemukakan secara berganda dan kesilapan itu dilakukan di peringkat pendaftaran.

Ujar beliau, pihak pendakwaan yang menyedari kesilapan itu memohon mahkamah membatalkan pertuduhan berganda tersebut dan dibenarkan oleh mahkamah yang kemudian memerintahkan agar Sheila dilepas tanpa dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, apa yang berlaku selepas itu menyebabkan pihak peguam mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) manakala pihak pendakwaan memfailkan permohonan semakan.

Ujarnya, tindakan itu diambil bagi mendapatkan perintah sama ada tertuduh perlu dilepaskan tanpa dibebaskan atau dibebaskan terus daripada ketiga-tiga pertuduhan.

“Bagi memperbetul keadaan, kami di peringkat rayuan menjalankan kuasa sedia ada untuk membuat perintah supaya pertuduhan berganda yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Majistret, dibatalkan.

“Kami membenarkan sebahagian rayuan kedua-dua pihak selaras dengan keputusan kami untuk membatalkan pertuduhan berganda tersebut,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Kedua-dua pihak merayu dua keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang melepas tanpa membebaskan Sheila daripada ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pada 26 Jun lalu, pegawai polis wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini