MELAKA: Seorang deejay kelab malam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam bagi pertuduhan menghalang tugas polis ketika sekatan jalan raya.
Bagaimanapun, tertuduh, Ngo Wei Kian, 26, menafikan tuduhan itu dan mendakwa dirinya dipukul oleh empat anggota polis.
Tertuduh membuat pengakuan itu melalui peguamnya, Cassian Anthony, Kent Tan Chow Teng dan Francis Augustine dalam rayuan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang tugas polis daripada menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang dengan memecut kereta dinaiki untuk melarikan diri setelah diarahkan berhenti.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 pagi di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Jun 2024.
Mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambah Cassian, tertuduh didakwa memecut kenderaan sedangkan ketika kejadian dia hanyalah penumpang.
“Tertuduh keluar daripada tempat duduk penumpang untuk bertanya saman yang dikenakan terhadap abangnya, namun mendakwa dia ditolak anggota polis sebelum dipukul empat daripadanya menggunakan kaki sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Hujahnya, anak guamnya juga akan membuat laporan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.










