KUALA TERENGGANU: Dua pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa direman lima hari bermula semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000, tiga tahun lalu.
Seorang wanita yang juga isteri kepada salah seorang pegawai penguat kuasa berkenaan turut direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 36 sehingga 41 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan, hari ini.
Perinah reman berkenaan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Ketiga-ketiga suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM30,000 daripada seorang lelaki ketika dua pegawai penguatkuasa itu bertugas di sebuah daerah di Terengganu pada 2001.
Bayaran itu dikatakan sebagai balasan melepaskan rakan lelaki berkenaan yang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Wang rasuah berkenaan juga disyaki digunakan salah seorang suspek yang kini bekerja di Kedah dan isterinya untuk dijadikan modal pelaburan judi secara dalam talian.
Hasil siasatan SPRM kemudian mendapati wang tersebut pada awalnya disyaki telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun milik isteri salah seorang suspek.
Terdahulu kesemua mereka ditahan antara pukul 2 sehingga 5.30 petang pada Ahad ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu. – UTUSAN










