Fatima, wanita tunggal pemandu pelancong di Afghanistan - Utusan Malaysia

Fatima, wanita tunggal pemandu pelancong di Afghanistan

Fatima tidak pernah mengetahui pemandu pelancong adalah satu kerjaya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAHIRKAN dan dibesarkan dalam negara yang golongan lelaki lebih dominan dalam pelbagai bidang tidak sedikit pun menggoyahkan impian Fatima untuk tampil sebagai seorang wanita yang bercita-cita dan hidup atas usaha sendiri.

Dikenali dengan hanya satu nama, Fatima merupakan wanita pertama dan satu-satunya kaum hawa di Afghanistan yang bekerja sebagai pemandu pelancong.

Wanita berusia 22 tahun itu membesar di kawasan luar bandar dan kini membawa kumpulan pelancong menyelusuri destinasi menarik di Herat, iaitu bandar ketiga terbesar di Afghanistan.

Tidak mahu terikat
Dilahirkan dalam keluarga besar, Fatima merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan menjadi satu-satunya yang masih belum berkahwin dan mendapat pendidikan.

Usahanya untuk mempromosi Afghanistan sebagai tempat pelancongan menarik perhatian Untamed Borders.
– AGENSI

Gadis itu membesar di kawasan kampung di wilayah Gohr dan memberitahu tiada sekolah untuk kanak-kanak perempuan.

Tidak mahu melihat perkara itu sebagai kekangan, Fatima meyakinkan ibu bapanya untuk membenarkan dia mendapat pendidikan supaya tidak ketinggalan.

Ketika berusia sembilan tahun, Fatima dan keluarganya menetap di Herat dan biarpun dia berpeluang menerima pendidikan secara tidak formal, gadis itu tetap duduk di rumah untuk membantu ibunya.

Hal ini kerana mendapat pendidikan di negara berpendapatan rendah tidak semudah memasuki sekolah biasa di kebanyakan negara membangun.

Apabila Fatima tidak mampu untuk membeli buku nota dan pen, dia akan menulis atas tanah menggunakan ranting kayu.

Selain itu, dia juga rajin berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris dengan mendengar radio BBC dan untuk mendapatkan siaran jelas, Fatima perlu naik ke atas bukit.

Tidak seperti kanak-kanak lain, Fatima tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pemandu pelancong kerana di Afghanistan, golongan wanita tidak digalakkan bekerja, sebaliknya menjadi suri rumah atau hanya terlibat dengan pekerjaan tradisional.

Malahan, gadis itu tidak pernah mengetahui pemandu pelancong merupakan satu pekerjaan yang boleh menjana pendapatan.

“Saya fikirkan banyak perkara sejak beberapa tahun ini dan duduk sahaja di rumah tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“Kakak serta abang memaksa saya berkahwin dan perkara itu amat menyedihkan saya. Saya buat keputusan untuk tidak lagi mengikut tradisi yang mereka perlu lalui sebelum ini,” katanya.

Sejak itu, Fatima memutuskan untuk mencari kerja dan membina hidupnya sendiri.

Ambil langkah pertama
Langkah pertamanya bermula dengan membuka akaun Facebook dan menyertai kumpulan yang berminat dengan sejarah tempat mahupun negara.

Penat melayan tanggapan orang ramai yang melihat Afghanistan sebagai negara yang penuh dengan peperangan dan konflik, Fatima mula menulis mengenai keunikan tempat tinggalnya dalam status Facebook.

Citadel Herat masih menampilkan ciri binaan purba yang boleh dihayati para pelancong. – AGENSI

Sejak itu, kehidupan biasanya berubah apabila dia mula menerima pelbagai komen dan reaksi daripada rakan-rakan dalam talian.

Pada 2020, seorang daripada mereka iaitu seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Big Tom’ memberitahu hasratnya datang melancong ke Afghanistan dan meminta Fatima menjadi pemandu pelancongnya.

Fatima bersetuju dengan permintaan rakannya dan Big Tom dibawa melawat tempat-tempat menarik di Herat termasuk muzium dan rumah teh tradisional.

Selepas itu, Big Tom mengesyorkan Fatima kepada rakan yang lain dan gadis itu meneruskan usahanya untuk mempromosi keunikan Afghanistan.

Usaha berbaloi
Usaha Fatima mendapat perhatian Untamed Borders iaitu sebuah agensi pelancongan yang pakar dalam menguruskan perjalanan ke tempat-tempat yang sukar diakses.

Wakil agensi pelancongan tersebut bertemu dengan Fatima dan Big Tom mencadangkan supaya syarikat tersebut mengambil gadis berkenaan bekerja sebagai pemandu pelancong.

Pada penghujung 2020, Fatima secara rasmi bergelar sebagai pemandu pelancong profesional wanita pertama Afghanistan.

Pengasas Untamed Borders, James Willcox berkata, Fatima bukan sahaja menjadi pemandu pelancong, tetapi berperanan sebagai duta kecil untuk negaranya.

Perbalahan keluarga

Namun, kejayaan Fatima yang mendapat kerja sebagai pemandu pelancong mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarganya.

Gadis itu memberitahu bapanya tidak bersetuju dengan apa yang dilakukannya dan berpendapat seorang wanita hanya layak menjaga keluarga.

Fatima membantah persepsi itu dan memberitahu bapanya dia tidak mahu kehidupannya menjadi teruk disebabkan oleh lelaki itu.

Dikenali dengan hanya satu nama, Fatima merupakan wanita pertama dan satu-satunya kaum hawa di Afghanistan yang bekerja sebagai pemandu pelancong.

Bagaimanapun, ibunya memberi restu kepada Fatima untuk meneruskan cita-citanya.

“Ketika ini, ibu adalah segala-galanya untuk saya, dia menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Saya tidak akan menjadi pemandu pelancong wanita terakhir di Afghanistan,” katanya.

Perjalanan berliku
Setiap perkara yang dilakukan pasti berdepan ranjau dan begitu juga apa yang dilalui Fatima.

Jelas gadis itu, dia pernah dibaling batu oleh sekumpulan kanak-kanak ketika bertugas, malah dijerit dengan kata-kata tidak senonoh penduduk sekitar.

Situasi itu tidak mengejutkan sebenarnya apabila berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya 19 peratus golongan wanita di Afghanistan yang bekerja di luar kawasan tempat tinggal.

Data itu juga menunjukkan kira-kira 64 peratus penduduk Afghanistan bersetuju golongan wanita perlu dibenarkan bekerja di luar tempat tinggal. Namun masih terdapat beberapa halangan termasuk diskriminasi, keganasan dan sekatan.

Bagaimanapun, Fatima kini mampu menyara keluarganya dan menyumbang pengetahuannya untuk mendidik golongan wanita supaya berani tampil ke hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×