JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntukan pembiayaan sebanyak RM272.6 juta kepada 13,091 usahawan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu direkodkan antara Januari hingga Mei lalu menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut.
Katanya, daripada jumlah itu, pembiayaan berjumlah RM81.5 juta diberikan kepada seramai 10,672 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Pembiayaan yang diberikan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjumlah RM41.8 juta dimanfaatkan oleh seramai 2,083 usahawan.
“Selain itu, institusi perbankan seperti Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM57.3 juta kepada 297 usahawan, manakala SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM91.4 juta kepada 37 usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024 di Angsana Mall, di sini hari ini.
Ewon berkata, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) turut menyumbangkan kepada statistik apabila turut meluluskan pembiayaan francais kepada dua syarikat berjumlah RM660,000.
Katanya, pada tahun lalu, kementerian menerusi agensi juga menyalurkan pembiayaan kepada usahawan dan koperasi berjumlah RM771.4 juta di Johor dan RM165.8 juta di Melaka.
Menurut Ewon, Showcase SDSI wilayah Selatan yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu, berjaya mencatat jualan tunai sebanyak RM1.13 juta, melepasi sasaran awal RM1 juta.
Selain itu, katanya pameran yang melabuhkan tirainya pada hari ini berjaya mencatatkan potensi pembiayaan RM23.9 juta dengan potensi aktiviti padanan perniagaan (Padaniaga) berjumlah RM17 juta.
“Sejumlah RM9.221 juta potensi jualan Padaniaga turut berjaya dicatatkan dalam showcase wilayah selatan,” katanya. – UTUSAN










