KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat membaiki barang elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi pertuduhan pemalsuan dokumen terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM85,000.
Muhammad Asyraf Rizal, 26, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Asyraf didakwa menggunakan satu dokumen iaitu borang permohonan program subsidi upah atas nama sebuah syarikat berjumlah RM88,200 di mana tertuduh tahu bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di Putrajaya pada 16 Jun 2020.
Justeru pertuduhan dikemukakan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli menawarkan jaminan RM80,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu hadir di Pejabat SPRM di Johor Bahru sebulan sekali sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam Siti Nabila Hamzah yang mewakili Muhammad Asyraf memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang bekerja di Singapura merupakan penanggung utama keluarga selain membayar kos perubatan datuk dan neneknya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.










