Speaker Selangor teliti notis kekosongan kerusi Selat Klang - Utusan Malaysia

Speaker Selangor teliti notis kekosongan kerusi Selat Klang

Kekosongan kerusi
LAU WENG SAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan meneliti notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang diserahkan oleh Parti Bersatu hari ini.

Speakernya, Lau Weng San berkata, beliau ketika ini enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Saya perlu meneliti dokumen (notis kekosongan itu) terlebih dahulu. Pada masa ini, saya tidak mahu memberi apa-apa kenyataan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Bersatu Selangor menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis berkenaan kepada Weng San, kira-kira pukul 3 petang.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, notis melibatkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari itu dibuat mengikut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Menurut ADUN Hulu Kelang itu, Speaker DUN perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan notis bertulis tersebut.

Mengikut peruntukan Perkara LXVA, kerusi seseorang yang terhenti menjadi ahli Dewan Negeri perlu kosong sebaik tarikh kekosongan dipastikan oleh Speaker Dewan jika tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

Pada 2 Jun lalu, Abdul Rashid dan enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Abdul Rashid sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, Bersatu turut menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×