Diesel: Industri sayur, bunga berisiko lumpuh

Diesel: Industri sayur, bunga berisiko lumpuh

Pengusaha sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Camerin HIghlands mendakwa bakal lumpuh ekoran penghapusan subsidi diesel bagi pekebun memperoleh pendapatan RM300,000 dan ke atas. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Industri sayur-sayuran dan bunga-bungaan di sini yang membekalkan kira-kira 40 peratus keperluan negara diancam lumpuh berikutan penghapusan subsidi diesel bagi pekebun memperoleh pendapatan RM300,000 dan ke atas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, sebelum isu subsidi diesel, kira-kira 2,200 petani di situ sudah terbeban dengan kenaikan kos baja dan gaji pekerja.

“Kini kebanyakan pengusaha yang berpendapatan lebih RM300,000 setahun tidak layak mendapat subsidi diesel sedangkan bahan api ini dianggap ‘nyawa’ kepada aktiviti pertanian di sini.

“Pengeluaran sayur-sayuran segar di Cameron Highlands sebanyak 1,000 metrik tan sehari dan 30,000 metrik setan sebulan yang dihantar ke seluruh negara, Singapura, Dubai, Thailand, Hong Kong dan China.

“Sekarang kami perlu bersaing dengan sayur diimport dari Thailand dan China dan akhirnya kami tidak boleh pasarkan sayur di pasaran tempatan kerana sayur yang import lebih murah, jadi akan berlaku lambakan sayur tempatan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ee Mong berkata, beliau berharap kerajaan mengkaji semula pelaksanaan subsidi diesel bagi memastikan inisiatif itu dapat dinikmati oleh petani dan pekebun kecil secara menyeluruh.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tuan Empunya kenderaan, Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands, Kwang Ee Fu, 58, ahlinya begitu terkesan dengan penghapusan subsidi diesel.

“Kami yang menjadi tulang belakang aktiviti penghantaran hasil ke seluruh negara mengalami kenaikan kos bahan api yang akan meningkatkan kos perkhidmatan dan harga sayur dan bunga-bungaan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, S. Mathan, 44, yang mewakili 400 ahli pula sifatkan penghapusan subsidi diesel sebagai beban berat untuk meneruskan aktiviti ekonomi yang menjadi warisan keluarga sejak puluhan tahun.

Katanya, kawasan kebun yang berbukit, tiada bekalan elektrik dan mereka bergantung sepenuhnya kepada generator untuk menyiram, membaja serta kenderaan pacuan empat roda untuk urusan harian.

Sementera itu Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan bersedia mempertimbang untuk menaikkan kadar layak memperoleh subsidi diesel melebihi RM300,000 setahun kepada para petani. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×