Rekod Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sukar dipersoalkan

Rekod Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sukar dipersoalkan

ANWAR Ibrahim (tengah) hadir dalam Majlis Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam pada 14 Jun lalu. Turut hadir, Mohd. Zuki Ali (baju biru, kiri), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (dua dari kanan) dan beberapa Menteri Kabinet lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini tular satu surat layang yang menuduh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, yang dikatakan tidak setia kepada Kerajaan Madani dan cuba mensabotaj Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari dalam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini KPPA adalah satu jawatan panas yang menyaksikan penyandangnya tidak kekal lama. Dakwaan penyalahgunaan kuasa sering ditimbulkan semata-mata untuk menjatuhkan penjawatnya, tetapi kali ini dakwaannya ialah tidak setia.

Kenyataan KPPA atau mana-mana penjawat awam kanan tidak setia dan cuba mensabotaj Perdana Menteri adalah satu dakwaan serius. Ia tidak boleh dikemukakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memberikan apa-apa bukti, apa lagi jika bersifat fitnah semata-mata.

Tuduhan kononnya penjawat awam kanan mengikut arahan bekas Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) kepada bekas Perdana Menteri dalam membuat pertukaran jawatan adalah tuduhan yang melucukan. Malangnya ada yang mempercayai tuduhan tidak munasabah ini.

Wan Ahmad Dahlan mempunyai rekod sokongan yang baik ke atas Aspirasi Malaysia Madani, baik sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mahupun sebagai KPPA sejak mula dilantik pada 9 Januari lalu.

Sebagai Ketua Pengarah ICU JPM, beliau antara lainnya telah menganjurkan Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat dengan tema Pembangunan Madani, Rakyat Disantuni di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah pada 16 hingga 17 Jun 2023.

Konvensyen ini bermatlamat untuk menyediakan platform bagi menterjemah aspirasi Madani dalam konteks pembangunan dan kesejahteraan rakyat, membincangkan tatakelola dari sudut peraturan dan amalan terbaik dalam merealisasikan agenda sosiopembangunan nasional serta memperkukuhkan sinergi antara agensi pusat, negeri, daerah mahupun pihak berkuasa tempatan dalam menyelaras selain mengurus agenda pembangunan rakyat dan menangani kemiskinan.

Susulan kejayaan ini, kerajaan bersetuju untuk memperkasakan peranan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi di peringkat daerah dengan menyerahkan peranan pelaksanaan projek-projek kecil dan penyelenggaraan peringkat daerah kepada mereka. Hal ini bagi memastikan pengurusan dan pemantauan sesuatu projek menjadi lebih cekap dan efisien.

Selaras dengan tekad Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar, urusan menyantuni rakyat miskin diteruskan dengan rancak lagi. Beberapa inisiatif dibuat oleh ICU JPM yang bertujuan meringankan beban rakyat miskin, iaitu Usaha Kasih Madani, Didik Kasih Madani dan Kasih Ihsan Madani.

Di bawah kepimpinan Wan Ahmad Dahlan, ICU JPM menjadi semakin aktif menyediakan kediaman kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah eKasih. Contoh inisiatif ini ialah pembinaan Rumah Kasih Ihsan.

Sebagai mengiktiraf usaha serta komitmen kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam menyegerakan projek-projek pembangunan, ICU JPM juga buat julung kalinya menganjurkan Anugerah Pembangunan Negara (APN) pada 14 November 2023.

Sebanyak 21 anugerah dalam tiga kategori anugerah utama, diberikan kepada kementerian, jabatan atau agensi yang cemerlang dalam menjayakan pelaksanaan projek-projek pembangunan negara.

Setelah dilantik sebagai KPPA, dalam ucapan di majlis Amanat KPPA 2024 bertajuk H.E.M.A.T dan Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada 21 Februari lalu, Wan Ahmad Dahlan memulakan usaha memantapkan perkhidmatan awam dengan menyenaraikan tujuh cabaran utama yang dihadapi oleh penjawat awam selain menggariskan penyelesaian ke atasnya.

Masa sama, tiga prinsip iaitu memudahkan, menyesuaikan dan menyegerakan dijadikan pegangan.

Memudahkan bermaksud memudahkan urusan yang melibatkan pihak berkepentingan dan pelanggan. Menyesuaikan pula bermaksud menyesuaikan cara kerja agar selari dengan agenda kerajaan semasa. Manakala menyegerakan mempunyai perkaitan dengan kepantasan bekerja.

Serentak itu, Wan Ahmad Dahlan memperkenalkan nilai baharu bagi penjawat awam iaitu H.E.M.A.T. sejajar dengan dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri dan aspirasi The G.R.E.A.T. Civil Service yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

H.E.M.A.T. terdiri daripada hijrah tatakelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran. Ia membawa dua maksud, iaitu sikap penjawat awam dalam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan tidak boros sementara dari segi sifat pula H.E.M.A.T. bermakna cara penjawat awam menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.

KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM
Berpegang kepada prinsip ini, Wan Ahmad Dahlan menyegerakan urusan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang turut melibatkan penyertaan aktif beberapa pemegang taruh seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) serta banyak persatuan atau kesatuan lain dalam perkhidmatan awam.

Hasilnya, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dengan falsafah pegawai atasan yang tertinggi akan mendapat kenaikan yang paling rendah dan pegawai rendah akan menikmati kenaikan yang tertinggi dibuat Perdana Menteri pada 1 Mei lalu dan akan mula dilaksanakan bermula Disember depan.

Lebih mutakhir ialah penganjuran dan pelancaran Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat lalu sebagai ejen penggerak perubahan perkhidmatan awam.

Himpunan yang berjaya mencatatkan kehadiran lebih 8,000 penjawat awam, daripada pelbagai lapisan gred jawatan, sama ada bagi peringkat Persekutuan, negeri mahupun PBT ini memberikan suatu isyarat penting tentang kebersamaan penjawat awam.

Dengan pelbagai bukti ini maka tiada langsung elemen tidak setia dan cuba mensabotaj Perdana Menteri dalam kalangan mana-mana penjawat awam kanan, khasnya KPPA. Malah usaha berterusan dibuat bagi membawa penjawat awam menunjukkan kebersamaan mereka dalam membuat anjakan bagi merealisasikan agenda Malaysia Madani.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

DR. Nik Mawardi Mohamed ialah bekas Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×