Tedesco kecewa dengan drama VAR

Tedesco kecewa dengan drama VAR

DOMENICO TEDESCO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRANKFURT: Pengendali Belgium, Domenico Tedesco mengakui berasa kecewa dengan keputusan kontroversi video bantuan pengadil (VAR) yang mengakibatkan pasukannya tewas mengejut 0-1 di tangan Slovakia pada aksi pertama mereka di Kejohanan Eropah (Euro).

Skuad kendalian Tedesco dikejutkan dengan gol Ivan Schranz seawal minit ketujuh di Frankfurt namun mampu mengikat kedudukan jika jaringan lewat permainan Romelu Lukaku disahkan.

Lukaku melepaskan rembatan selepas menerima hantaran daripada Lois Openda pada minit ke-86 bagaimanapun VAR mendapati bola tersebut terlebih dahulu terkena tangan Openda.

Terdahulu, gol penyerang Roma, Lukaku turut dibatalkan selepas dia berada dalam kedudukan ofsaid.

“Sukar untuk diperkatakan. Jika kami menang saya boleh memberitahu anda lebih banyak mengenai pandangan saya namun kami kalah dan saya mahu dilihat sebagai pengurus yang adil jadi saya tidak mahu bercakap apa-apa.

“Kita perlu mempercayai mereka. Saya percayakan VAR. Jika mereka memutuskan bola terkena tangan, kami perlu menerimanya,” kata Tedesco.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Belgium merupakan pasukan ketiga terbaik dunia manakala Slovakia di tangga ke-45.

Itu merupakan kekalahan pertama Belgium dalam 15 perlawanan sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Tedesco sejak mengambil alih pasukan daripada Roberto Martinez.

“Bagi saya, malam ini cukup menyakitkan. Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Anda boleh percaya kita akan bercakap banyak perkara namun kita akan lakukannya secara tertutup dan bukannya melalui media.

“Saya tahu kami akan tewas suatu hari nanti namun malangnya ia adalah hari ini. Jujurnya tidak banyak saya boleh katakan kepada pasukan yang banyak melakukan peningkatan.

“Kami mencipta banyak peluang dan sudah tentu jika kami mengambilnya satu (jaringkan gol) permainan akan menjadi lebih mudah,” katanya lagi.

Belgium akan bertemu Romania pasukan yang menewaskan Ukraine 3-0 pada Sabtu ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×