MUKADIMAH
Sejak EdgePoint ditubuhkan pada 2021, portfolionya telah berkembang lebih 1,500 menara telekomunikasi di seluruh negara dan syarikat turut berusaha menjadi rakan kongsi infrastruktur yang dipercayai dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
EdgePoint turut bekerjasama dengan pemain-pemain industri untuk menggunakan infrastruktur yang inovatif seperti sistem Liputan Dalam Bangunan dan Sel Kecil.
Ikuti temu bual Utusan Malaysia dengan Ketua Pegawai Eksekutif, EdgePoint Towers Sdn. Bhd., Muniff Kamaruddin mengenai gambaran keseluruhan perniagaan EdgePont.
Apakah rancangan EdgePoint untuk mengembangkan ketersambungan di Malaysia tahun ini?
Kami adalah towerco yang fokus kepada pelanggan, berorientasikan penghantaran sambil memastikan kualiti perkhidmatan kekal terbaik. Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan penyelesaian yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan kami dan juga menyumbang ke arah mewujudkan Malaysia yang terhubung secara digital. Kami juga akan menumpukan fokus untuk mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatan kami dengan lebih cekap bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang.
Landskap Malaysia yang lebih maju berbanding negara-negara lain memerlukan kami untuk menggunakan teknologi yang lebih inovatif dan bersasar untuk memenuhi keperluan liputan serta kapasiti yang sentiasa berkembang, sejajar dengan pertumbuhan penggunaan data. Kami telah menjalin perkongsian dengan beberapa nama-nama yang besar seperti myNEWS Holdings Berhad, Sunway Group dan The Exchange TRX baru-baru ini, di mana kami telah menyediakan penyelesaian yang sedia masa hadapan untuk memenuhi keperluan kapasiti dan ketersambungan.
Kami juga bekerjasama untuk melanjutkan perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan tradisional kami iaitu MNO (Mobile Network Operators). Perkongsian terbaharu kami dengan REDtone, yang ditandatangani pada April tahun ini, memfokuskan kepada penyediaan internet berkelajuan tinggi menggunakan satelit Starlink untuk menyediakan penyelesaian backhaul alternatif, terutamanya di Malaysia Timur.
Pada masa yang sama kami juga telah menerima pelanggan-pelanggan baharu dari beberapa segmen bukan tradisional, contohnya pemain internet kebendaan (IoT) di mana kami telah bekerjasama untuk menggabungkan IoT dengan infrastruktur telekomunikasi untuk memantau corak iklim, kualiti udara, pemuliharaan tenaga dan sebagainya.
Kami juga akan meneruskan usaha-usaha akar umbi kami untuk memajukan kesalinghubungan di kawasan luar bandar. Tahun lepas, kami melancarkan program Connectivity for Communities (CFC) sulung yang menyaksikan EdgePoint bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Impact Malaysia, untuk meningkatkan kesalinghubungan di sekolah-sekolah terpencil di Pahang dan Sarawak sambil memacu program literasi digital. Kami berharap untuk meneruskan usaha-usaha kami untuk meningkatkan akses yang sama kepada ketersambungan untuk semua orang.
Bagaimanakah EdgePoint mengekalkan kelebihan daya saing dan memenuhi keperluan pasaran yang berubah di tengah landskap telekomunikasi yang pesat berkembang?
Tumpuan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik, infrastruktur yang sedia masa hadapan dan teknologi-teknologi inovatif kepada para pelanggan kami. Kami percaya kualiti-kualiti ini membezakan kami dari pesaing kami dan membantu untuk melampaui jangkaan pelanggan kami.
Pelanggan-pelanggan kami mahukan jaminan bahawa rakan kongsi mereka boleh menjangka dan memenuhi permintaan pada masa hadapan dan kami terus melabur dalam peralatan, penyelesaian dan teknologi baharu untuk menjadikan ia realiti.
Sebagai contoh, kami menggunakan sistem analisis data untuk meramalkan kawasan yang memerlukan liputan dan mempunyai potensi komersial terbaik, dan kemudian kongsi lokasi tapak-tapak yang disyorkan ini bersama pelanggan kami. Kami juga menggunakan sistem analitik untuk memantau kesemua lokasi tapak kami dari jauh untuk mengurangkan usaha penyelenggaraan sambil meningkatkan keselamatan.
EdgePoint telah membangunkan satu inisiatif untuk memajukan ekuiti digital di kawasan luar bandar dengan ‘Connectivity for Communities’. Adakah EdgePoint merancang inisiatif yang sama untuk tahun ini?
Ya, kami akan meneruskan usaha kami untuk meningkatkan ekuiti digital di kawasan luar bandar untuk tahun ini. Inisiatif CFC EdgePoint telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan kerana kami telah membawa ketersambungan dan peralatan digital seperti komputer ke sekolah-sekolah terpilih di Pahang dan Sarawak dengan kerjasama NGO tempatan Impact Malaysia.. Tahun ini, kami akan menggandakan pelaburan kami dalam CFC untuk menjangkau lebih banyak sekolah dan meningkatkan akses ketersambungan untuk lebih ramai pelajar di kawasan luar bandar di seluruh Malaysia.
Dengan kemajuan dalam pelancaran 5G di Malaysia, bagaimana anda melihat landskap infrastruktur telekomunikasi di Malaysia berkembang tahun ini?
Kami menjangkakan teknologi 5G akan memacu pertumbuhan yang ketara di semua industri. 5G juga dijangkakan akan menghubungkan perniagaan, manusia dan mesin pada skala yang besar, di samping memperkukuhkan penggunaan penyelesaian IoT. Ini akan membawa tahap automasi, penyesuaian dan analitik yang lebih tinggi dalam industri. Ini akan memberi peluang besar kepada kami kerana akan terdapat keperluan untuk melabur dalam lebih banyak lokasi tapak menara dan infrastruktur telekomunikasi yang lebih teguh dan sedia untuk masa hadapan bagi memenuhi permintaan untuk ketersambungan, dan menyediakan pengalaman yang lancar untuk pelanggan kami.
Apakah unjuran perniagaan EdgePoint untuk tahun ini? Apakah cabaran yang telah dikenalpasti? Dan bagaimana pula dengan persaingan?
Kadar pertumbuhan kami adalah baik dan sejajar dengan rancangan pertumbuhan jangka sederhana kami. Menjelang akhir tahun, kami menjangkakan pertumbuhan pada kadar minimum 10 peratus dalam aspek menara dan penyewa. Jadual kami boleh terjejas disebabkan oleh undang-undang kecil, peraturan teknikal ataupun rupa bumi geografi yang mencabar, tetapi ini adalah perkara yang kami telah mengambil kira semasa merancang pertumbuhan kami.
Industri ini sangat dinamik dan kami mengalu-alukan persaingan sihat di kalangan pemain industri utama. EdgePoint kini merupakan satu daripada tiga towerco terbaik di Malaysia dan kami telah mencapai kejayaan yang berterusan sejak 2021. Kami akan terus memberi tumpuan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan kami sambil berusaha ke arah memajukan ekuiti digital di ASEAN.-UTUSAN










