KUALA SELANGOR: Program laluan selari atau parallel pathway oleh Fellowship Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) tidak berdepan isu pengiktirafan kerana ia diiktiraf di United Kingdom (UK).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau menghubungi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry, yang memaklumkan mengenai isu berkenaan dan felow itu secara khususnya lebih kepada program kardiotorasik.
“Beliau mengatakan Royal College of Surgeons of Edinburgh memang tidak bermasalah kerana diiktiraf oleh Majlis Perubatan Am (GMC) UK dan ia tertera secara hitam putih.
“Justeru, ia tidak menjadi isu dan perlu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan mengenai perkara itu sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Pek Kasih Mama Shopee, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan isu parallel pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotorasik, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas MMA menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran FRCS Ed yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.
Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik.
Mengulas mengenai draf pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi mengatasi isu pendaftaran doktor perubatan dengan kelayakan kepakaran daripada program itu, Dzulkefly menjelaskan, ia bertujuan memastikan pengaturan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kita mahu memurnikan keseluruhan program sama ada sarjana perubatan ataupun parallel pathway itu yang dijalankan oleh sembilan universiti tempatan. Ia turut melibatkan 14 program bersama badan-badan luar negara termasuk felow itu (FRCS Ed),” ujarnya.
Beliau sebelum ini memaklumkan draf pindaan itu sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara dan sesi libat urus turut akan diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk MMC, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sementarai itu, dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyenarai pendek hospital yang bakal terlibat dalam kerjasama awam-swasta bagi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan dalam negara.
“Kita sedang meneliti 95 hospital yang menyatakan kesediaan menerima pesakit dari hospital awam bagi menampung keperluan perkhidmatan nephrology, cardiology services, pembedahan kardiotorasik dan radiology imaging.
“Sejumlah RM144 juta diperuntukkan bagi outsourcing dan memberi peluang kepada hospital swasta untuk Request For Proposal,” katanya. – UTUSAN










