PETALING JAYA: Peguambela kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan perintah tambahan kepada anak guamnya susulan penyebaran dokumen yang dikatakan hasil siasatan polis terhadap pasangan tersebut di media sosial semalam.
Perintah tersebut bagi melindungi anak guamnya daripada menjadi mangsa subjudis kerana pasangan tersebut kini berhadapan tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu mengabaikan kanak-kanak autisme berkenaan.
Peguambela, Fahmi Abd. Moin berkata, beliau sudah menasihatkan anak guamnya untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran dokumen tersebut oleh sebuah akaun Telegram sejak petang semalam.
“Saya dimaklumkan bahawa dokumen tersebut tersebar pada petang kelmarin. Kita tidak tahu dari mana sumbernya, siapa mereka dan sejauh mana kebenaran perkara itu, namun selepas menelitinya ia merosakkan imej dan reputasi anak guam kami.
“Jadi saya menasihatkan mereka untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat tersebut sambil memantau secara dekat berhubung perkembangan tersebut. Sekiranya keadaan semakin teruk, kami mungkin akan memohon perintah tambahan terhadap pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Terdahulu, ‘Edisi Siasat’ menerusi aplikasi Telegram menerbitkan tangkap layar yang dikatakan hasil siasatan polis terhadap ibu bapa Zayn Rayyan yang kemudian diikongsikan pengguna media sosial di pelbagai platform.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, nasihat pihaknya kepada pasangan tersebut selari dengan kenyataan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang mengatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyekat penyebaran maklumat itu.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan kerana kesahihannya belum disahkan.
“Jika mana-mana pihak atau dalam kes ini keluarga (anak guamnya) terkesan dengan maklumat disebarkan yang bersifat subjudis, mereka boleh mengambil tindakan,” katanya.
Semalam, ibu bapa kepada Zayn Rayyan yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan Ismanira Abdul Manaf (tertuduh kedua) meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 26 Julai depan untuk serahan dokumen.- UTUSAN









