Kontraktor mohon VOP, penamatan bersama dikembalikan

Kontraktor mohon VOP, penamatan bersama dikembalikan

MOHAMMAD Fauzee Mohamad (tengah) bersama pimpinan PKMMNK dalam sidang akhbar susulan rasionalisasi subsidi diesel di Alor Setar, Kedah semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah (PKMMNK) berharap variasi harga (VOP) dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30 peratus yang berlaku disebabkan rasionalisasi subsidi diesel.

Yang Dipertua PKMMNK, Mohammad Fauzee Mohamad berkata, kesan teruk boleh berlaku terhadap industri pembinaan sekiranya kaedah itu tidak dilaksanakan memandangkan sebahagian besar kontraktor tidak dapat menyerap kenaikan kos ketika ini.

Katanya, tidak mustahil ramai kontraktor terpaksa menye­rahkan semula projek diraih dan gulung tikar kerana sukar meneruskan kerja-kerja berkenaan yang mengambil tempoh antara setahun ke dua tahun selepas memperolehi tender.

“Kita mohon langkah terbaik kerajaan dapat membantu seluruh kontraktor dalam kawalan untuk mencegah kenaikan harga bahan binaan dan sewa jentera.

“Kalau tak dapat kawal harga barang kena bagi subsidi kepada kita sebab dalam tender, kita tak boleh letak harga lebih daripada ditetapkan kerajaan dan kerana itu pentingnya VOP dikembalikan dalam bentuk sepenuhnya.

“Malah, kaedah penamatan bersama (mutual termination) juga perlu dikembalikan bagi membantu kontraktor-kontraktor menyerahkan semula tender yang diperolehi sekiranya gagal memenuhi obligasi kontrak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui terdapat kenaikan harga bahan binaan susulan harga baharu minyak diesel sebanyak RM3.35 seliter berbanding harga lama RM2.15 seliter sejak Isnin lalu.

Tambah Mohammad Fauzee, VOP juga wajar dikembalikan oleh kerajaan dalam jumlah sepenuhnya iaitu bergantung kepada perbezaan kenaikan harga yang berlaku.

“Dahulu ada VOP untuk 16 item, kenaikan harga barang masa itu mencecah sampai 25 peratus tetapi VOP yang kita dapat hanya tiga peratus sahaja. Kena kaji semula berapa yang kita layak kerana kalau tidak kontraktor akan gulung tikar.

“PKMMNK sebenarnya me­nyambut baik tindakan kerajaan berkaitan subsidi diesel ini bagi mencegah penyeludupan tetapi disamping langkah diambil ini, kita sebagai pemain industri dalam sektor pembinaan agak terkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×