111 buah bot nelayan Vietnam dilupus jadi tukun tiruan - Utusan Malaysia

111 buah bot nelayan Vietnam dilupus jadi tukun tiruan

SALAH sebuah bot nelayan Vietnam yang dilupuskan menjadi tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya melupuskan 111 buah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak sejak 2020 sehingga kini.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi APMM negeri, Komander Maritim Mohd. Firdaus Mohd. Anuar, anggaran nilai perolehan asal kesemua 111 buah bot berkenaan ialah sebanyak RM27.5 juta.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk sembilan buah bot Vietnam bernilai RM1.7 juta yang telah dilupuskan secara tenggelam untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Terengganu sejak Januari tahun ini.

“Dua kaedah pelupusan yang dilaksanakan APMM adalah secara musnah pecah atau tenggelam sebagai tukun dan kesemua bot ini adalah yang ditahan dalam Op Kuda Laut serta Op Naga Barat sejak 2020.

“Pada 19 April lalu, kami juga melakukan pelupusan secara musnah pecah bagi empat buah bot nelayan asing yang bernilai RM450,000 selepas menerima perintah mahkamah.

“Bagi bot yang dilupuskan secara tenggelam, ia akan dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Redang dan Bidong sebagai usaha memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin,” katanya.

Mohd. Firdaus berkata demikian selepas program pelupusan tiga buah bot nelayan Vietnam bernilai RM800,000 di sekitar perairan Pulau Kapas di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga bot terbabit merupakan bot yang ditahan pada 2022 dan 2023 serta selesai menjalani proses perundangan untuk dilucut hak oleh mahkamah.

Menurut Mohd. Firdaus, APMM Terengganu masih mempunyai tujuh buah bot nelayan asing juga dari Vietnam yang sudah mendapat kelulusan dan akan dilupuskan pada tahun ini.

“APMM sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan perairan negara dari dicerobohi nelayan asing dan pelupusan ini juga adalah usaha meningkatkan kelestarian hidupan marin,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×