KUALA LUMPUR: Cef selebriti dan pengacara, Anis Nabilah, menasihatkan masyarakat agar cakna tentang penyediaan bahan mentah bagi mengelak berlakunya keracunan makanan.
Menurut Anis atau Anis Nabilah Umaruddin, 38, pemahaman yang salah mengenai cara pembersihan bahan mentah, seperti telur boleh membawa kepada masalah tersebut.
“Ada banyak sebab yang menyumbang kepada keracunan Salmonella, contoh seperti telur yang sudah tercemar.
“Ada pempengaruh media sosial yang berkongsi tindakan mereka yang meletakkan telur ke dalam peti ais selepas ia dicuci. Cara itu tidak betul. Permukaan kulit telur yang berpori membolehkan air masuk ke dalamnya sekali gus menyebabkan pencemaran.
“Cuci telur anda hanya ketika anda mahu masak atau rebus,” katanya yang diminta mengulas insiden keracunan makanan di sebuah sekolah sehingga menyebabkan kematian.
Anis ditemui di majlis pelancaran kedai Illycaffee di Hartamas, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pengacara program Icip-Icip itu turut berkongsi kaedah yang betul memasukkan telur ke dalam peti ais.
“Cuaca di negara kita panas. Setiap bahan mentah yang dibeli mesti disimpan di dalam peti ais, termasuklah telur.
“Walaupun negara kita mempunyai pelbagai menu masakan yang berasaskan telur, namun di luar negara, mereka menyediakan telur dalam keadaan yang dimasak sepenuhnya khususnya bagi restoran yang memiliki francais besar,” katanya.
Dalam pada itu, Anis menggesa semua pengendali makanan untuk mengikuti khursus pengendalian makanan sebelum memulakan perniagaan.
“Pengendali makanan di sekolah dan di mana sahaja perlu ada khursus tentang keselamatan pembuatan dan sajian makanan.
“Saya tak pasti semua pengendali ada atau tidak sijil itu. Perkara ini penting bagi mengelak daripada terjadinya isu keracunan makanan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan 82 daripada 247 pelanggan mengalami keracunan selepas menikmati sarapan di sebuah restoran dekat Gombak, Sabtu lalu.
Dua yang dilaporkan meninggal dunia terdiri daripada seorang lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan.










