PETALING JAYA: Sebanyak 24,403 saman dikeluarkan Kontinjen Kuala Lumpur sepanjang lapan hari pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) Jalan Raya di ibu negara bermula 4 Jun lalu hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, halangan lalu lintas atau parkir merupakan kesalahan tertinggi direkodkan dalam tempoh tersebut.
Katanya, sebanyak 18,209 saman melibatkan halangan lalu lintas,; berhenti di laluan pejalan kaki (1,358); tiada lesen memandu (764), kesalahan nombor plat (362), dan cukai jalan tamat tempoh (493).
“Selain itu tidak ikat topi keledar (53), tiada nombor pendaftaran (171), tiada cermin sisi (284), menggunakan telefon (122), tidak tampal P (180), lesen tamat tempoh (120), lampu brek tidak fungsi (16), ubahsuai kenderaan (40) dan tiada perlindungan insurans (41).
“Sebanyak 156 operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara antaranya OP Telefon Bimbit, OP Motosikal, OP Had Laju/LSD, OP Perdagangan, OP Halangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, seramai 265 pegawai kanan dan 3,060 anggota JSPT Kuala Lumpur ditugaskan sepanjang tempoh tersebut selain dibantu beberapa anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“JSPT Kuala Lumpur juga melakukan sebanyak 40 tangkapan dan turut menyita lima buah motosikal dan sebuah lori,”katanya.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi trafik secara besar-besaran menerusi Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya (Op HUU) di seluruh ibu kota, bermula 4 Jun sehingga 15 Jun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, dianggarkan 200 anggota ditugaskan setiap hari terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari jabatan dan daerah Kontinjen Kuala Lumpur.- UTUSAN











