Harga bahan binaan mula naik, jejaskan harga rumah

Diesel: Harga bahan binaan mula naik, jejaskan harga rumah

DASAR Perumahan Negeri Melaka menetapkan 50 peratus daripada setiap pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar perlu menyediakan RMM. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan perlu memantau dan memberi fokus memastikan tidak berlaku kenaikan harga bahan binaan yang mendadak dan melampau susulan harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 sen seliter kelmarin.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan, Desmond Yap Poh Seng berkata, kenaikan harga bahan binaan susulan penetapan harga diesel dan pelaksanaan subsidi bersasar tersebut dikhuatiri akan menjejaskan harga rumah pada masa hadapan.

“Pemaju dan kontraktor sudah diberitahu harga simen, konkrit, pasir, batu pecah (crusher run) dan mesin semuanya akan atau telah naik.

“Ini memang akan menaikkan harga pembinaan dan menjejaskan harga rumah pada masa depan. Kami harap kerajaan patut memantau harga bahan binaan ini dengan rapat, kami risau kenaikan harga bahan binaan ini berlaku secara melampau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin kerajaan mengumumkan harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 sen seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga diesel tanpa subsidi itu ditetapkan secara mingguan bermula tengah malam 10 Jun.

Terdahulu, Kementerian Kerja Raya berharap kenderaan yang terbabit dalam sektor pembinaan dipertimbangkan untuk Program Bantuan Subsidi Madani.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, bantuan itu terutamanya membabitkan kenderaan yang membawa bahan binaan milik kontraktor kecil dan sederhana supaya sektor pembinaan tidak perlu menaikkan sebarang kos disebabkan rasionalisasi subsidi diesel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×