Perbincangan fiqh haji antara negara diteliti sebelum dilaksana

Perbincangan fiqh haji antara negara diteliti sebelum dilaksana

MOHD Na'im Mokhtar (tengah) melihat robot pintar ketika melawat salah satu ruangan pameran sempena penganjuran Simposium Utama Haji Ke-48 di Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Perkara berkaitan fatwa dan hukum fiqh ibadat haji yang dibincangkan dalam Simposium Perdana Haji ke-48 semalam akan diteliti di peringkat Muzakarah Haji Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, prinsip yang dibincangkan itu kemudian akan dilaksanakan sekiranya ada yang difikirkan sesuai terutama kepada jemaah haji Malaysia.

Katanya, simposium yang menjadi platform utama para intelektual dan agamawan dari seluruh negara itu dilihat bertepatan untuk bertukar pengetahuan dalam ibadah haji.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah sejauh mana usaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam memperke­nalkan perkhidmatan kepada hujjaj itu bertepatan bahawa Islam agama mudah.

“Alhamdulillah, saya fikir usaha kerajaan Arab Saudi itu akan dibawa untuk perbincangan dan insya-Allah kita akan lihat kepada semua usaha serta fatwa yang dibuat kementerian tersebut. Mana-mana usa­ha yang baik itu kita akan laksanakan demi kebaikan jemaah haji Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Simposium Perdana Haji ke -48 di Makkah Chamber semalam.

Antara ulama dan tokoh agama yang hadir termasuk Mufti Mesir, Sheikh Ahmad Sheikh Shuaki; Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais; Rabitah Al Islami dan Sheikh Abdul Karim Isa.

Simposium Perdana Haji ke-48 itu dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada tahun ini turut membincangkan tentang fiqh berkaitan isu asas agama Islam yang menganjurkan kemudahan untuk umatnya.

Bertemakan Mematuhi Kebenaran Agama dan Mematuhi Larangan Dalam Pelaksanaan Ibadat Haji, simposium itu turut dihadiri menteri-menteri agama dan pemikir dari seluruh dunia Islam.

Dalam perkembangan lain, Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais memberi penekanan khusus kempen ‘Tiada Haji Tanpa Permit’ dalam penganjuran simposium berkenaan.

Menurutnya, kempen tersebut diwujudkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji terjamin untuk melakukan ibadat rukun Islam kelima itu.

Justeru beliau berharap kempen tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak dan negara selain menyeru kerjasama dengan agensi keselamatan yang dipertanggungjawabkan.

“Mereka yang tidak mempunyai permit berisiko melakukan dosa dan terlibat dalam perbuatan terlarang dengan melanggar syariah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×