MPOGCF sumbang 15 perangkap harimau pada Perhilitan

MPOGCF sumbang 15 perangkap harimau pada Perhilitan

KETUA Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (kiri) dan Hairulazim Mahmud (dua dari kiri) melihat perangkap harimau sumbangan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyumbang sebanyak 15 perangkap harimau jenis Perangkap Wahab kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bernilai RM225,000.

Pengurus Besarnya, Hairulazim Mahmud berkata, perangkap berharga RM15,000 setiap unit itu akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti oleh Perhilitan sebagai lokasi berlaku konflik antara manusia dan spesies terancam tersebut.

“Perangkap ini adalah langkah sementara untuk melindungi harimau belang yang populasinya kini hanya sekitar 150 ekor daripada terus menjadi mangsa konflik perbuatan manusia.

“Antara konflik serangan tersebut adalah terhadap ternakan dan manusia, pemburuan haram, kemalangan jalan raya serta jangkitan penyakit seperti virus distemper anjing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, MPOGCF merupakan satu-satunya yayasan mewakili industri sawit negara yang terlibat secara langsung dalam usaha memelihara dan memulihara Harimau Malaya. 

Katanya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada agenda kebangsaan di bawah Pasukan Petugas bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTFF) yang ditubuhkan pada 2021.

“Antara usaha sama lain antara MPOGCF dan Perhilitan dalam pemuliharaan Harimau Malaya termasuk Kajian Penentuan Profil Hormon Pembiakan Harimau Malaya serta Kajian Genetik dan Penilaian Imunogenetik Harimau Malaya.

“Selain itu, terdapat juga sumbangan makanan tambahan untuk meningkatkan potensi pembiakan Harimau Malaya dan kerjasama dalam mewujudkan makmal laparoskopik untuk program pembiakan berbantu (ART),” jelasnya.

Tambahnya lagi, langkah-langkah sedemikian dilaksanakan bagi membuktikan komitmen MPOGCF dalam melindungi Harimau Malaya sebagai warisan biodiversiti negara yang berharga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×