PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini berada dalam tahanan reman polis dibawa kembali ke kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, semalam bagi membantu proses siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.
Proses membawa ibu Zayn Rayyan dipercayai untuk melakonkan semula situasi di lokasi kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehingga mayatnya ditemukan pada 6 Disember lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya ibu Zayn Rayyan dibawa ke lokasi berkenaan.
Dfahamkan, ibunya yang juga saksi kehilangan kanak-kanak itu dibawa ke kediaman keluarga mereka sebelum ke lokasi tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.
Sepanjang tempoh itu, beberapa laluan utama ke lokasi kejadian dikawal ketat oleh polis sejak pukul 9.45 pagi.
Kenderaan yang membawa ibu Zayn Rayyan kemudian kelihatan dibawa keluar kira-kira pukul 12.20 tengah hari selepas berada di lokasi berkenaan selama dua jam.
Kenderaan membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zai pula tiba pada pukul 12.55 tengah hari.
Beliau kemudian kelihatan meninggalkan kawasan Apartment Idaman pada pukul 2.08 petang bersama kenderaan dinaiki Timbalannya, Deputi Komisioner Polis Fadil Marsus.
Sehingga 2.30 petang, kelibat bapa Zayn Rayyan yang juga dalam tahanan reman polis tidak kelihatan.
Kelmarin, siasatan polis mendapati wujud percanggahan keterangan daripada saksi-saksi dan ibu bapa Zayn Rayyan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pelbagai usaha diambil polis untuk menyelesaikan kes pembunuhan itu.
Katanya, ada perkara yang perlu disemak semula kerana tidak selari dan tidak konsisten membabitkan keterangan saksi dan lain-lain.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan di sambung lagi selama enam hari.
Sebelum ini, pasangan terbabit ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan anak mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











