JEDDAH: “Hanya satu perkataan yang terlintas di fikiran sewaktu mendapat panggilan haji iaitu ‘dosa’.”
Itu pengakuan selebriti Johan Raja Lawak dan isterinya, Ozlynn Wati ketika berkongsi kisah mendapat tawaran Kementerian Media Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Katanya, dia tidak tahu apa kebaikan yang dilakukan sehingga dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji dan berita tersebut dikongsi bersama isterinya sehingga mengalirkan air mata.
“Berita gembira itu buat saya menangis gembira, walaupun saya tidak peduli kalau itu scam. Kalau scam sekalipun, berita itu cukup membuatkan saya menangis gembira.
“Saya tidak tahu apa kebaikan yang saya buat sampai dipilih Allah bagi saya peluang ini. Kami menangis bersama-sama sewaktu mendapat perkhabaran itu.
“Sebab kita ini banyak buat dosa, tetapi Allah tetap pilih kita untuk datang. Itu yang mahalnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Johan turut berkongsi doa yang selalu diamalkan agar ia turut menjadi panduan kepada rakan-rakan lain.
“Mungkin kita boleh kongsi satu doa yang mungkin tidak ada dalam doa kawan-kawan. ‘Ya Allah berikanlah aku rezeki yang tidak disangka-sangka dan berikanlah aku khabar gembira’.
“Jadi pada saya, ini adalah khabar gembira dan ini juga adalah rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya. – UTUSAN











