Pemaju bersedia menawarkan kediaman rumah pintar 

Pemaju bersedia menawarkan kediaman rumah pintar 

SISTEM rumah pintar memberikan kelebihan utama kepada pemilik rumah untuk menguruskan keselamatan rumah dengan mudah.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEIRING peredaran zaman, kecanggihan produk berteknologi dan kewujudan kecerdasan buatan (AI) dilihat bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian, namun turut membantu memberikan kelebihan kepada anda sebagai pemilik rumah daripada aspek sekuriti dan keselamatan.

Penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) dilihat boleh mengaplikasi konsep rumah pintar yang lebih berkeupayaan dalam perhubungan dan menyerlahkan kecanggihan pemilikan hartanah di negara ini. 

Rumah pintar merujuk kepada pelbagai kemudahan di rumah antaranya peranti yang diaktifkan melalui pengecaman suara serta pencahayaan yang dikawal melalui aplikasi di telefon pintar.

Lebih menarik, sistem rumah pintar memberikan kelebihan utama kepada pemilik rumah untuk menguruskan keselamatan rumah dengan mudah.

Antara peranti pintar yang selalu bermain di fikiran ramai pembeli seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu sensor pergerakan namun sebenarnya terdapat juga peranti pintar lain yang menarik seperti loceng pintu pintar dengan kamera.

Di negara ini, beberapa pemaju hartanah telah mula membina kediaman pintar dan menerima respon positif pembeli. 

Namun, sejauh manakah pemaju mampu menawarkan rumah pintar sekali gus mendapat kepercayaan pembeli yang mahu mengaplikasikan teknologi tersebut?

Bagi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, sejak dua tahun lalu kumpulan hartanah itu telah ke arah rumah pintar dengan anggaran bajet sebanyak RM20,000 untuk aplikasi kawalan. 

“Untuk permulaan, bajet tersebut adalah untuk memulakan teknologi yang diperoleh daripada syarikat aplikasi. Bagaimanapun, kami mula mendapati kos penyediaan aplikasi rumah pintar ini boleh dikurangkan pada harga RM5,000 sahaja.

“Oleh itu, sebagai pemaju saya melihat penyediaan rumah pintar ini boleh dilakukan dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. 

ng digunakan oleh MK Land meliputi pendawaian kabel dua arah (hala), peranti keras (hardware) dan perisian (software) termasuk aplikasi yang akan mengawal peranti tersebut. 

“Rumah pintar juga bukan sekadar menggunakan aplikasi, namun pendekatan berteraskan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) turut digunakan seperti penggunaan tenaga solar dan reka bentuk kediaman yang mesra alam. 

“Kami mendapati kelebihan rumah pintar ini dapat memudahkan kehidupan, lebih efisien, mengurangkan pembaziran dan keselamatan lebih terjamin dengan penggunaan sistem siren melalui aplikasi bagi mengelakkan rumah diceroboh atau berlaku perkara tidak diingini seperti kebakaran,” katanya.  

Setakat ini, tiga projek MK Land  melibatkan Rafflesia Hill 2, Raflesia Hills 3, Damansara Perdana di ibu negara dan terbaharu, projek rumah teres dua tingkat di Balsa @ Meru Perdana, Ipoh, Perak dibina dengan aplikasi kediaman rumah pintar. 

Jelas Ahmad Soalahuddin Al-Thani, sambutan untuk memiliki rumah pintar ini sangat memberangsangkan tidak kira daripada golongan muda mahupun yang sudah berusia.

“Bagi golongan muda, mereka dilihat berminat menerima perubahan, manakala bagi golongan berusia pula, mereka mahu memiliki rumah pintar bagi mengurangkan kos selain merasakan lebih mudah menjalani kehidupan seharian dengan adanya aplikasi pintar.

“MK Land berhasrat membina kediaman rumah pintar sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Seri Pajam Development, Cheo Sze Yih berkata,  pihaknya melihat rumah pintar sebagai konsep untuk memudahkan pergerakan dan aktiviti harian pemilik rumah. 

“Rumah pintar ini dapat memberikan pengalaman baharu, membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih mudah dan selesa melalui peranti pintar yang tersedia. 

“Selain itu, rumah pintar ini menawarkan kawalan dan keselamatan yang lebih baik, serta memberikan nilai tambah dan penjimatan elektrik kepada para pembeli.

“Matlamat kami adalah untuk membentuk komuniti pintar dalam kalangan masyarakat, di mana mereka tidak hanya memiliki rumah pintar yang menjimatkan masa dan penggunaan elektrik, tetapi juga mencipta kejiranan yang peka dengan keselamatan diri dan orang tersayang,” katanya. 

Sehingga kini, Seri Pajam Development mempunyai beberapa projek rumah pintar, termasuk 176 unit rumah pintar yang disediakan di Desa Mayang Sari, Nilai, Nada Alam, Pajam (315 unit) dan projek terbaharu, Nada Embun di Seremban 2 (1,900 unit).

Jelas Sze Yih, pihaknya menyediakan peranti pintar yang lebih kondusif dan terkini kepada para pembeli.  

“Antara produk rumah pintar yang kami tawarkan adalah pintu digital pintar, sensor gerakan, lampu rumah pintar, google mini, loceng pintu pintar, CCTV, tirai pintar dan kawalan pintu gerbang pintar,” katanya. 

Pada masa akan datang, Seri Pajam Development berhasrat membina lebih banyak penempatan perumahan pintar, bukan hanya untuk menyediakan kediaman yang canggih dari segi teknologi, tetapi juga untuk mencipta kawasan perumahan yang lebih mesra alam, selamat dan lestari. 

“Kami percaya pendekatan ini akan memberikan manfaat jangka panjang kepada penghuni dan alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera dan bertanggungjawab,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×