PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan di jejambat Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Jalan Cheras dan laluan itu selamat dilalui.
Sebaliknya, dakwaan ada kesan retakan adalah kesan garisan hitam pada sambungan pembinaan terdahulu.
KKR dalam kenyataan berkata, pemeriksaan segera itu dilakukan syarikat konsesi SPE, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat perunding EDP pada pukul 11.30 malam tadi.
“Pihak perunding turut mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan akan dikemukakan kepada LLM,” katanya menerusi X.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah mengarahkan LLM dan SPE membuat pemeriksaan dan penilaian di kawasan berkenaan yang didakwa retak.
Kata Alexander, keselamatan semua pihak, terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.
Pada 3 November lalu, SPE dibuka sepenuhnya dan mempunyai laluan tiga lorong dua hala serta tujuh persimpangan bertingkat.
Lebuh raya itu dibahagikan kepada empat seksyen iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.
Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.- UTUSAN











