GAZA: Tindakan tentera Israel membedil sekolah kendalian Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kem pelarian Nuseirat ketika ramai penghuninya sedang nyenyak tidur disifatkan antara serangan paling kejam sepanjang perang lebih lapan bulan di Gaza.
SERANGAN PALING KEJAM
Mangsa yang terselamat daripada jenayah genosid terbaharu rejim Zionis itu menggambarkan serangan tersebut sebagai subuh paling berdarah yang mengorbankan lebih 40 nyawa termasuk kanak-kanak yang berlindung di kem tersebut.
Pejabat Media Kerajaan di Semenanjung Gaza berkata, puluhan lagi cedera apabila bedilan itu memusnahkan tiga bilik darjah di mana pelarian perang berteduh.
Walaupun Nuseirat tidak mengalami pencerobohan tentera yang besar sejak permulaan perang, kawasan itu menjadi tapak pembunuhan beramai-ramai yang menyasarkan sekolah, menara kediaman, pasar dan kedai roti.
Seorang bapa, Ibrahim Ayad berada di sekolah itu ketika tentera Israel menyasarkan kawasan berkenaan dengan beberapa roket.
“Saya melarikan diri bersama keluarga selepas rumah kami musnah dan kami hidup kini dalam keadaan yang amat sukar, tetapi satu-satunya matlamat saya adalah sentiasa mencari tempat selamat untuk anak-anak saya,” katanya.
Kini, Ibrahim berasa tidak selamat selepas sekolah itu mula menjadi sasaran sejak sebulan lalu yang sudah mengorbankan lapan warga Palestin dan katanya kejadian semalam adalah yang paling buruk.
“Ini adalah definisi sebenar pembunuhan beramai-ramai. Mereka menyasarkan kami ketika kami sedang tidur. Pemimpin Israel harus bertanggungjawab atas jenayah tidak bermoral ini,” katanya.
Sementara itu sukarelawan, Ibrahim Hussein yang bertugas membantu pelarian di kem itu mengakui hampir putus asa dalam percubaan terdesak mereka untuk bertahan dari serangan berterusan rejim Zionis.
UMPAMA MIMPI NGERI
Walaupun sudah beberapa kali melihat serangan bertali arus Israel terhadap penduduk Gaza, dia berkata masih terkejut dengan apa yang berlaku kelmarin.
“Berpuluh-puluh orang terbunuh, terdapat cebisan tubuh dan serpihan yang bertaburan di merata tempat di sekolah.
“Kanak-kanak dan wanita ketakutan, semua orang melarikan diri ke luar hingga menimbulkan huru-hara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Saya cuba menenangkan orang ramai dan kanak-kanak, tetapi ia adalah mimpi ngeri yang sangat sukar dipadam,” ujarnya.
Seorang doktor sukarela yang bekerja di pusat perlindungan tersebut, Dr. Yunus Eid turut berkongsi pengalaman serupa.
Ketika serangan berlaku, dia sedang tidur di pusat perubatan di salah satu bilik di sekolah tersebut.
“Apabila kami mendengar pengeboman itu, kami segera bergegas keluar. Asap dan serpihan ada di mana-mana.
“Kami cuba menenangkan orang ramai dan memaklumkan kepada mereka pengeboman itu menyasarkan sekolah di bangunan bersebelahan tetapi dentumannya sangat kuat. Bilangan orang yang dipindahkan di empat sekolah ini melebihi 50,000 orang.
“Pada waktu pagi, semua orang menyedari betapa besarnya jenayah kejam yang dilakukan oleh tentera pendudukan. Saya berharap ini adalah pembunuhan beramai-ramai terakhir dalam perang yang dahsyat ini dan perjanjian segera akan dicapai tidak lama lagi,” tambahnya.-AGENSI










