JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membantu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyelesaikan sembilan projek perumahan sakit dan terbengkalai di enam daerah di seluruh Johor, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, hasrat kerajaan negeri adalah supaya semua projek perumahan terbabit dapat dipulihkan segera dan pembeli tiada lagi pembeli akan terbeban.
“Ada pembeli yang terpaksa menunggu lebih 10 tahun sebelum ini akibat masalah teknikal dan pemaju hingga ia tak dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kita boleh selesai projek sakit dan terbengkalai kerana kebanyakan projek melibatkan pemaju utama seperti SPNB dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima),” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan bagi melihat kemajuan projek di Taman Seri Molek Perdana di sini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan Pengarah SPNB, Mohd. Khairul Azli.
Tujuh projek sakit tersebut ialah Taman Seri Molek Perdana, Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Pelangi di Johor Bahru; Taman Permata Layang, Kluang; Taman Seri Saujana, Kota Tinggi; Taman Seri Unas Permai, Muar dan Taman Impiana Kulai, Kulai.
Sementara itu, dua projek terbengkalai yang akan disiapkan tahun ini ialah Taman Kulai Utama dan Taman Permata Impian di Kulai.
Mohd. Jafni berkata, antara isu perumahan sakit dan terbengkalai yang sukar diselesaikan ialah membabitkan projek sendiri yang pemajunya lari atau syarikat tersebut gulung tikar.
Katanya, penyelesaian yang dapat kerajaan negeri bantu ialah dengan mengesan pemaju terbaik dan meminta mereka membayar pampasan kepada pembeli yang terjejas setelah pihak pemaju tidak lagi mampu dari segi kewangan untuk menyiapkan projek tersebut.
Ujarnya, projek perumahan di Taman Permata Impian Kulai sudah 20 tahun terbengkalai di mana pemaju sepatutnya menyiapkan 200 lebih rumah mampu milik tetapi mereka tidak dapat buat atas alasan kerugian serta kos terlalu tinggi.
“Jadi kita bincang, kita minta pemaju beri pampasan kepada pembeli. Kita tidak boleh masuk campur sebab ini antara pemaju dan pembeli.
“Kerajaan negeri hanya buka laluan perbincangan dan biar pemaju selesaikan. Itu cabaran kita hendak bantu rakyat. Perlu situasi menang-menang antara dua pihak,” katanya. – UTUSAN










