PASIR PUTEH: Balu kepada bekas pemain bola sepak Harimau Malaya, Allahyarham Wan Ezila Wan Daud sebak menerima sebuah rumah percuma sumbangan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), hari ini.
Suhaini Muhamad Asri, 37, berkata, pemberian itu akan membolehkannya kembali semula ke kampung halaman dan tinggal bersama kedua-dua orang tuanya selain dapat membantu menjaga mereka.
“Ayah, Mohamad Asri Ismail, 69, diserang penyakit angin ahmar manakala ibu, Saadiah Sulaiman, 58, menghidap penyakit buah pinggang.
“Sebelum ini saya tinggal di Sungai Penchala, Kuala Lumpur bersama salah seorang anak tiri dengan mengambil upah mengasuh tiga kanak-kanak dengan pendapatan RM900 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis peletakan batu asas pembinaan rumah yang disempurnakan Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa di Kampung Gong Datuk di sini.
Suhaini memberitahu, pendapatan yang tidak menentu menyebabkan dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri.
Katanya, sepanjang 16 tahun berkongsi kehidupan bersama arwah, mereka menyewa rumah di Kota Bharu.
“Bila suami meninggal dunia, saya bersama dua anak iaitu Wan Mohammad Emeer Ali,15 dan Wan Emran Hussaini, 9, berpindah ke Kuala Lumpur. Terima kasih SPNB, tanpa ini mungkin saya terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki rumah.
“Rumah ini dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi. Bila siap nanti, saya akan pulang ke kampung dan berusaha untuk berniaga secara kecil-kecilan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya. – UTUSAN










