Semua sampah datang dari manusia, dihanyutkan ke laut

Semua sampah datang dari manusia, dihanyutkan ke laut

MOHD. Ariff Ismail ketika mengutip sampah dalam usaha menjaga kepentingan ekosistem lautan untuk hidupan marin dan manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan ketika berkunjung ke Semporna, Sabah pada 2018 mengikuti tugasan di bawah Jabatan Perikanan. Ketika itu saya membuat liputan Nelayan Nasional (GNN): Seaweed Splash 2018 yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Majlis perasmian diadakan di Dataran Reggatta Lepa Semporna. Rombongan media dan menteri turut di bawa ke kawasan ternakan rumpai laut. Selepas menjalankan tugas, Ahmad Shabery secara tiba-tiba terjun ke laut, menikmati keseronokkan berendam di tengah-tengah lautan. Hati berkobar-kobar untuk sertai beliau dan pasukannya namun, memikirkan tidak membawa baju persalinan, maka hajat itu berlalu begitu sahaja.

Pada keesokannya kami dibawa untuk jelajah pulau dan berpeluang menghabiskan masa mandi-manda sambil menikmati keindahan beberapa pulau di sana. Namun, dalam keindahan pemandangan dan ketenangan lautan berwarna biru kehijauan itu, mata ini tidak lepas menatap sampah sarap yang dibuang di tengah lautan, begitu juga sekitar rumah persisir pantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sayangnya keindahan yang dibangga-banggakan sehingga ramai yang memasang hasrat untuk bercuti ke pulau itu rupanya dicacatkan dengan longgokan sampah yang berpotensi menjadi penyebab kepupusan hidupan marin seperti penyu, ikan, terumbu karang dan banyak lagi.

Ini baru satu kawasan, belum lagi laut-laut lain di negara ini yang tidak kurang hebat juga lambakan sampahnya. Jika begini, tidak hairanlah Malaysia menduduki tempat ketiga senarai 10 negara teratas yang menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan akibat sisa yang salah diurus, berdasarkan kertas penyelidikan yang diterbitkan pada 2021 oleh ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer.

Sementara pada tahun lalu, berdasarkan kaji selidik dijalankan sebuah entiti, Utility Bidder, iaitu pihak pembekal perkhidmatan keperluan tenaga di United Kingdom (UK) mendedahkan Malaysia berada pada dalam kedudukan 10 negara teratas di dunia paling banyak membuang sampah berupa plastik dalam laut.

Kaji selidik itu juga mendapati, Malaysia membuang kira-kira 2.29 kilogram (kg) plastik seorang setiap tahun, ke dalam laut.

Filipina yang berada di tangga teratas membuang sampah, iaitu 3.30 kg seorang setiap hari ke dalam laut, diikuti Suriname terletak di benua Amerika Selatan (2.89 kg), Trinidad and Tobago (2.55 kg) dan Saint Lucia (2.45 kg).

Jadi, sempena sambutan Hari Lautan Sedunia esok, rakyat Malaysia terutamanya perlu mengubah sikap dan mentaliti untuk lebih peka terhadap kepentingan lautan. Ini termasuk tidak membuang sampah sama ada di lautan atau darat kerana kebanyakkan sampah bermula dari darat.

Tindakan manusia melihatkan ‘dangkal’nya mereka terhadap kepentingan laut untuk kehidupan manusia dengan membekalkan makanan dari sumber perikanan, memacu industri ekopelancongan dan memberi perlindungan kepada persisiran pantai, mengatur iklim serta mengitar semula nutrien tetapi juga untuk hidupan marin.

Kita bernasib baik, masih ada insan-insan yang hatinya suci untuk memegang amanah memastikan kepentingan laut tidak terus rosak akibat tangan manusia.

Disebabkan menyedari kesan buruk sampah di lautan kepada ekosistem hidupan laut dan manusia, jurulatih Persatuan Profesional Pengajar Selam (Padi), Mohd. Ariff Ismail tiada pilihan lain selain mendedahkan pelajarnya tentang nilai-nilai murni mengenai kelestarian dasar laut.

Mohd. Ariff yang terlibat dalam sukan skuba sejak 2016 di bawah Padi berjaya melahirkan penyelam rekreasi kompeten atas piawaian agensi berkata dia sudah terlibat dengan kerja-kerja sukarela membersihkan dasar laut di sekitar perairan Malaysia dan Indonesia sejak 2016 lagi.

“Seperti orang lain yang inginkan suasana tempat kerja yang bersih dan indah, sebegitu juga kami yang berkait rapat dengan laut. Sudah menjadi kewajipan jurulatih selam untuk memelihara dan menjaga kebersihan laut.

“Setiap kali pergi menyelam tidak kisah atas tujuan apa pun jika terjumpa sampah saya akan kutip untuk dilupuskan di tempat yang betul. Saya biasa melakukan ini setiap minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi pengalaman, Mohd. Ariff yang terlibat dalam melahirkan sukarelawan untuk kerja-kerja pembersihan dalam laut yang kompeten iaitu penyelam yang mengikuti kursus khas Padi Dive Against Debris anjuran bersama antara Black Eye Scuba Team (BEST) dan Yayasan Salam Malaysia (Salam) pada tahun lalu mengutip jumlah sampah tertinggi seberat 100kg di Pulau Perhentian, Terengganu dengan jenis sampah yang paling banyak dikutip ialah plastik.

“Semua sampah sememangnya datang dari manusia, bermula dari darat dan akhirnya dihanyutkan ke laut.

“Di sini saya boleh katakan sikap rakyat Malaysia dalam menjaga kepentingan lautan itu bergantung dari pemahaman mengenai fungsi laut dan kesan pencemaran laut terhadap mereka. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang tidak pernah putus asa dalam menjaga kebersihan pantai dan laut,” katanya.

PENDIDIKAN
Tambah Mohd. Ariff, amat wajar rakyat di negara ini didedahkan dengan kepentingan laut terhadap manusia. Dari situ rakyat Malaysia akan lebih memahami kesan buruk akibat perbuatan ‘kejam’ mereka terhadap ekosistem laut.

Ia mestilah didedahkan melalui pendidikan yang bermula dari rumah, sekolah dan seterusnya peringkat yang lebih tinggi.

Pendidikan ini boleh diperkasakan lagi melalui kempen-kempen kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar dan laut. Ini termasuk mengambil tahu tentang Alga berfotosintesis di lautan menghasilkan sekitar 70 peratus oksigen di atmosfera.

”Lautan menampung keperluan kita. Ia membekalkan oksigen, makanan dan ubat serta merupakan sumber rekreasi, penemuan, identiti dan budaya. Dengan itu marilah kita sama-sama menghargai alam sekitar dan kehidupan laut demi kepentingan bersama.

“Menjaga pantai dan laut bersih budaya mulia amalan kita,” nasihatnya mengakhiri perbualan.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×