APA guna kaya jika tidak menderma. Kekayaan dan populariti seharusnya menjadi faktor utama dalam kita memberi semula bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Sementelah, sokongan peminat adalah kekuatan artis untuk terus mengemudi bahtera seni. Tidak mungkin lancar pelayaran itu tanpa dayungan dan sorakan bersama peminat.
Minggu ini kita senaraikan empat bintang terkemuka K-Pop yang terkenal dengan sifat dermawan.
Bukan sahaja cantik, kacak, berbakat dan popular, mereka juga pernah tersenarai dalam lima pemain seni yang paling banyak menyumbang serta menderma. Ayuh!

BTS
Kumpulan BTS juga pernah berada dalam senarai penyumbang terbesar dalam kalangan pemain industri K-Pop.
Sepanjang tahun 2023, dianggarkan jumlah wang yang disumbangkan BTS adalah RM39 juta.
Malah kumpulan yang sedang mendunia ini juga pernah berkolaborasi dengan agensi kemanusiaan antaranya UNICEF, projek Korean Culture Heritage Preservation dan Hospital Kanak-Kanak Seoul National University.
Kumpulan yang popular dengan lagu Dynamite itu juga sering menghulurkan sumbangan untuk pembangunan tempatan, golongan memerlukan dan kempen US Black Lives Matter.

BLACKPINK
BUKAN sahaja popular, empat gadis jelita yang sememangnya antara anggota kumpulan wanita berpengaruh ini juga dermawan. Bukan calang-calang sumbangan yang telah disalurkan.
Tahukah anda, Blackpink pernah menjadi antara penyumbang derma terbesar sebanyak RM534,000 dalam kalangan selebriti Korea Selatan.
Malah sekitar 2019, mereka juga pernah membatalkan konsert khas sempena kemunculan semula mereka bagi menghormati mangsa kebakaran ketika itu.
Selain itu, kumpulan yang popular dengan lagu Pink Venom itu menyumbangkan RM142,000 untuk membantu mangsa kebakaran di daerah Gangwon.
Salah seorang anggotanya, Jisoo secara peribadi juga menyalurkan 30 peratus keuntungan saluran YouTubenya kepada mereka yang memerlukan. Sudahlah cantik dermawan pula itu!

EXO
SELAIN berbakat besar dan popular kerana kekacakan anggotanya, EXO juga pernah tersenarai dalam lima penyumbang terbesar industri seni K-Pop.
Dianggarkan, mereka menyumbangkan RM854,000 kepada pelbagai golongan yang memerlukan terutama kepada kanak-kanak khususnya yang mempunyai masalah pendengaran.
Malah, sumbangan mereka turut disalurkan sokongan pemulihan Covid-19 serta anak muda yang memerlukan bantuan pendidikan.
Secara persendirian juga, anggotanya, Lay pernah menyumbangkan RM71,000 kepada agensi kerajaan China sebagai usaha membantu mereka yang ketika itu berusaha melawan pandemik.
Lay pernah menderma 60,000 pelitup muka kepada tiga hospital di Wuhan, China dan menghantar lapan trak bekalan perubatan selain 24,000 pelitup muka di Balai Polis Hunan, China.

IU
SELAIN Blackpink, penyanyi cantik seorang ini juga terkenal kerana sifat dermawannya. IU pernah mencatat sejarah sebagai penyumbang individu terbesar K-Pop.
Penyanyi dan pelakon popular itu membuat sumbangan sebanyak RM17 juta sehingga menjadi artis kedua yang banyak menyumbangkan derma sejak 2010.
UI yang popular dengan drama Hotel Del Luna itu cukup terkenal apabila bekerjasama dengan pelbagai agensi kemanusiaan dalam membantu mereka yang memerlukan.










