Baucar buku: Mahasiswa N. Sembilan cadang lebih banyak platform beli bahan bacaan - Utusan Malaysia

Baucar buku: Mahasiswa N. Sembilan cadang lebih banyak platform beli bahan bacaan

Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Permanis)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan dicadang supaya melibatkan lebih banyak platform mengakses pembelian buku dan bahan bacaan susulan pengumuman pemberian baucar pembelian buku sebanyak RM100 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Permanis) menerusi kenyataan menjelaskan, penebusan baucar melalui platform BookCapital seperti dimaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah disambut baik namun penglibatan lebih banyak platform sudah tentu dilihat dapat memperkasakan lagi inisiatif berkenaan.

“Menyertakan lebih banyak platform jualan buku selain BookCapital dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar dalam memilih dan membeli buku. 

“Contoh platform lain yang boleh disertakan adalah Lazada, Shopee dan MPH Online yang turut menawarkan pelbagai judul buku akademik dan bacaan umum,” katanya hari ini.

Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi memupuk amalan membaca dalam golongan muda di negara ini.

Baucar itu itu ditawarkan kepada pelajar sekolah rendah dari tahun empat sehingga ke sekolah menengah dan IPT.

Susulan itu, KPT memaklumkan seramai 1.2 juta pelajar IPT warga Malaysia menerima manfaat pemberian baucar berkenaan dan dan ia dilaksana secara berperingkat bermula hari ini sehingga 31 Disember.

Bagi fasa pertama, penyaluran akan dilaksanakan melalui kaedah e-baucar dan KPT akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024).

KPT menerusi kenyataan memaklumkan lagi, kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal Graduate Reference Hub for Employment and Training (GREaT) kendalian KPT iaitu https://great.mohe.gov.my bermula pukul 10 pagi hari ini.

Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT itu pula hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara dalam talian di platform BookCapital sahaja.

Sementara itu, Permanis berpandangan inisiatif pemberian baucar buku itu adalah langkah yang tepat dalam menyemai minat membaca dan meningkatkan akses pelajar kepada bahan bacaan yang berkualiti.

“Permanis yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan menyemarakkan budaya membaca tetapi juga merancakkan industri buku akademik dan wacana ilmiah di Malaysia. 

“Kami berharap agar langkah ini akan diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang untuk manfaat yang lebih besar kepada seluruh warga pendidikan,” kata kenyataan itu lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×