KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik dan menjunjung kasih atas kenyataan berprinsip Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkait siasatan kes seorang anggota pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya terhadap seorang orang awam, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jaminan keadilan kepada mangsa merupakan cerminan kepada mutu kepemimpinan baginda.
“PN percaya komitmen baginda kepada kedaulatan serta proses undang-undang, menolak tindakan atau ugutan yang menyalahinya.
“Komitmen sedemikian dalam kalangan anggota serta pegawai kerajaan juga boleh menjadi obor harapan bahawa negara berupaya pulih daripada kesan buruk penyakit kronisme, pendakwaan terpilih, kolusi, salah guna kuasa dan sebagainya yang menjangkiti kita sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tanpa komitmen dan keazaman politik yang kukuh, impian sebuah masyarakat dan negara yang berintegriti, akan kekal sebagai kata-kata tanpa pengisian serta pembuktian.
Sebelum ini, media melaporkan, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Selasa lalu. – UTUSAN










