MARAN: Ada pengurusan di tanah rancangan Felda mempraktikkan amalan melewat-lewatkan bayaran hasil kepada peneroka sekali gus menyebabkan mereka lebih berminat menjual sawit kepada kilang swasta yang membelinya secara tunai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, jika keadaan ini berterusan, peneroka terdedah kepada manipulasi harga dan timbangan sekali gus pendapatan mereka tidak dapat dipotong untuk bayaran pinjaman Felda termasuk potongan kebajikan di tanah rancangan.
Sehubungan itu, jelasnya, Felda perlu segera meningkatkan kecekapan pengurusan proses jual beli sawit ke kilangnya.
“Felda sebagai konglomerat perlu menambah baik sistem kecekapan pengurusan jual-beli sawit ini seperti kilang swasta supaya tidak timbul lagi isu kelewatan pembayaran hasil kepada peneroka.
“Dalam hal ini, GWGF selalu beri pandangan kepada Felda berkaitan urus tadbir sistem pentadbiran, pengangkutan dan kecekapan penuaian sawit di ladang untuk dihantar ke kilang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat ke-44 di sini, semalam.
Rozali menambah, sistem pembayaran yang diamalkan oleh kilang persendirian dan pusat penimbang swasta boleh dicontohi Felda.
Ujarnya, Felda selaku agensi besar sepatutnya mengatasi segera isu lambat bayar hasil ini dengan pelbagai pendekatan seperti menambah kemudahan kredit kepada bank bagi bayaran kepada peneroka.
Tambah beliau, sekiranya sistem pembayaran dinaik taraf di mana peneroka terus mendapat bayaran hasil, tidak ada sawit dijual keluar kepada swasta.
Justeru, beliau berharap amalan penghantaran dan pembelian sawit oleh Felda sentiasa telus, adil dan teratur. – UTUSAN











