Contohi Estonia, laksana e-undi dengan segera

Contohi Estonia, laksana e-undi dengan segera

SAMPAI bila rakyat Malaysia perlu beratur panjang, berdiri di bawah terik matahari atau kesejukan apabila hujan untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada semua pengundi yang berjaya menunaikan kewajiban mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu.

Pun begitu, ada persoalan harus dilontarkan kepada pihak kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tatacara proses pengundian negara ini yang masih ketinggalan zaman. Dengan kemunculan pelbagai jenis kemudahan canggih, kenapa kita masih gagal menggunakan segala kemudahan untuk memudahkan urusan harian termasuklah pengundian.

Kita seharusnya memodenkan sistem pengundian dengan melaksanakan proses undian secara dalam talian ataupun pengundian elektronik. Pihak kerajaan dan SPR perlu mengambil contoh dari Baltik, Estonia yang melaksanakan proses pengundian secara dalam talian.

Rakyat Estonia akan mula mengundi dalam pilihan raya melalui telefon bimbit selepas Parlimen mereka meluluskan rang undang-undang berkaitan isu berkenaan baru-baru ini dan dijangka dikuat kuasa Oktober nanti.

Untuk Malaysia pula, sampai bila kita hendak minta pengundi keluar dari rumah, pergi ke tempat mengundi dan beratur panjang semata-mata untuk mengundi? Kemunculan pelbagai kemudahan teknologi sepatutnya digunakan sepenuhnya bagi memudahkan urusan harian kita dan ini termasuklah urusan mengundi.

Sedih melihat para pengundi terpaksa mengharungi cuaca mendung dan hujan, bahkan pernah ketika banjir.

Kita tidak boleh lagi bergantung harap sepenuhnya pada proses mengundi secara semuka ini buat selama-lamanya yang memakan masa serta menggunakan tenaga dan perbelanjaan wang yang banyak.

Zaman sudah berubah, oleh itu, sudah sampai masanya negara kita mengambil satu langkah yang proaktif dan inovatif dengan melakukan pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Sekiranya tidak boleh, sekurang-kurangnya laksanakannya secara hibrid. Pihak kerajaan dan SPR boleh melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini. Pelbagai jenis undang-undang perlu dikaji semula dan dipinda sekiranya ingin melaksanakan cadangan undian secara elektronik atau secara hibrid.

Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam perkara ini. Dunia kini sudah pun bergerak maju dengan kewujudan pelbagai jenis kemudahan digital. Proses pilihan raya negara kita perlu dimodenkan selaras dengan kemajuan dan kemudahan digital pada masa kini.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR.
MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×