909 penderma organ dalam tempoh 50 tahun

50 tahun hanya 909 penderma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK hampir 50 tahun lalu, bilangan penderma organ sebenar selepas kematian yang direkodkan di negara ini hanyalah seramai 909 orang.

Jumlah itu disifatkan terlalu rendah sejak kempen berkenaan dimulakan pada 1976 hingga April lalu.

Perkembangan tersebut sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara tercorot dalam pendermaan organ di Asia dan dunia.

Malah, statistik terkini Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) mendapati seramai 9,455 pesakit masih lagi berada dalam senarai menunggu pendermaan organ.

Angka tertinggi melibatkan pesakit buah pinggang dewasa iaitu 8,979 orang diikuti 436 untuk kanak-kanak.

Turut berada dalam senarai adalah 16 jantung, 13 hati (kanak-kanak), 4 hati (dewasa), 5 (jantung dan paru) diikuti 2 paru-paru.

Situasi itu sekali gus menyebabkan pesakit terpaksa menunggu dalam tempoh yang amat lama untuk mendapatkan organ baru.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA), Dr. Abdul Karim Othman berkata, purata masa menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ buah pinggang di negara ini adalah hampir 17 tahun.

Malangnya, majoriti pesakit dikesan meninggal dunia dahulu sebelum berpeluang memiliki organ yang diperlukan.

“Kadar pendermaan organ di Malaysia adalah kurang daripada satu organ bagi setiap sejuta penduduk.

“Ia di paras yang amat rendah berbanding peningkatan masyarakat yang memerlukan pemindahan organ,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Keadaan tersebut akhirnya membebankan pesakit dan keluarga kerana terpaksa menanggung kos perubatan yang makin tinggi saban tahun bagi merawat penyakit kronik dialami.

Contohnya, bagi penyakit kegagalan buah pinggang, kaedah rawatan terbaik adalah menerusi penggantian organ.

“Umum mengetahui pemindahan organ adalah jalan penyelesaian terbaik bagi individu yang berdepan kegagalan organ secara serius.

“Namun, kekurangan pendermaan menyebabkan pesakit perlu menampung kos hemodialisis yang tinggi hingga menimbulkan bebanan ekonomi kepada masyarakat dan negara,” katanya.

 

Kesedaran rendah, agama jadi halangan

Dr. Abdul Karim tidak menafikan yang tahap kesedaran masyarakat berhubung pendermaan organ masih lagi rendah.

Sama ada yang tinggal di bandar mahupun kampung, kedua-dua golongan itu masih kurang pemahaman, pendedahan dan cakna mengenai isu berkenaan.

Jelas pakar perunding anestesiologi ini, faktor itu kekal sebagai halangan utama untuk mendermakan organ.

Ujarnya, segelintir individu turut menganggap wujud konspirasi jahat untuk mendapatkan dan menjual organ kepada individu-individu berkepentingan atau kaya.

Ia berikutan salah tanggapan itu sering dipaparkan dalam filem dan televisyen.

“Jika dibiarkan berterusan, dikhuatiri lebih ramai individu takut dan menjauhi sebarang perbincangan berkaitan pendermaan organ.

“Namun, penemuan penyelidik sebelum ini mendapati jika kebanyakan individu berminat untuk berbuat demikian jika diberikan lebih pendedahan termasuk tentang proses-prosesnya,” katanya.

Dr. Abdul Karim berkata, halangan lain ialah kurang kepercayaan terhadap keupayaan sistem kesihatan Malaysia dalam mengendalikan tugasan pendermaan organ.

Ia mungkin dipengaruhi oleh pengalaman atau pemerhatian peribadi yang negatif atau daripada khabar angin.

Katanya, golongan tersebut cenderung mempersoalkan tentang diagnosis dan proses menentusahkan kematian otak oleh doktor di samping kerisauan organ derma digunakan pihak tertentu bagi tujuan penyelidikan.

Faktor penghalang lain ialah dari segi keagamaan kerana segelintir individu menyifatkan pendermaan organ bertentangan dan tidak digalakkan oleh agama.

“Individu ini percaya jasad perlu disemadikan atau dikebumikan dengan lengkap anggota tubuh,” katanya.

 

Pengaruh keluarga, keutuhan jasad
Keluarga mampu mempengaruhi pandangan dan penerimaan individu terhadap pendermaan organ sama ada ke arah negatif atau positif.

Justeru, keizinan keluarga memainkan peranan penting sebelum seseorang membuat keputusan untuk menderma organ selepas kematian.

Hal itu kerana wujud kebimbangan kononnya insan tersayang bakal terbeban dengan keputusan tersebut atau semasa dan selepas pendermaan organ dijalankan.

“Ada yang menganggap pendermaan organ selepas kematian akan melambatkan proses pengebumian dan seterusnya menambah derita psikologi keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, tentangan untuk mendermakan organ mungkin berkurangan apabila dilakukan ketika masih hidup dan melibatkan penerima dalam kalangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Karim menambah, ramai individu yang menitikberatkan keutuhan anggota dan jasad semasa disemadikan.

“Mereka risau selepas pendermaan dibuat, penampilan jasad berubah cacat berikutan proses mengeluarkan organ dan kesan jahitan.

47.5 peratus penduduk Lembah Klang tolak derma organ
Kajian sekumpulan penyelidik pada 2010 mendapati sebanyak 47.5 peratus daripada keseluruhan 688 responden di Lembah Klang menolak untuk menjadi penderma organ.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30.1 peratus memberikan alasan tidak yakin organ yang didermakan akan digunakan dengan sebaik mungkin di samping 29.2 peratus tiada maklumat dan pendedahan mengenainya.

Diikuti 16.9 peratus responden yang mahukan jasad lengkap selepas kematian manakala 13.9 peratus bimbang keluarga akan bersedih dan 9.9 peratus menyifatkan perbuatan itu bertentangan dengan agama mereka.

Lain-lain alasan ialah tidak nampak keperluan untuk mendermakan organ dan tiada sebab tertentu untuk berbuat demikian.

Menariknya, kajian turut mendapati peningkatan taraf pendidikan menggalakkan lebih ramai individu untuk mendermakan organ.

Buktinya, sebanyak 53 peratus responden berpendidikan tinggi menyatakan minat dan hasrat untuk mendermakan organ masing-masing.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×