BUTTERWORTH : Cubaan seorang operator kilang warga Bangladesh memberi rasuah sebanyak RM249 kepada anggota polis Januari lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman satu bulan penjara selain didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Md. Sabber Rahman, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah telah menawarkan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM249 kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Ia adalah sebagai dorongan supaya anggota polis itu tidak mengenakan tindakan undang-undang ekoran tertuduh tidak memiliki lesen memandu selain pasport tamat tempoh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Januari lalu di Balai Polis Machang Bubok, Bukit Mertajam kira-kira pukul 7.20 malam.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh pula tidak diwakili oleh peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana ia disifatkan sebagai satu kesalahan yang serius.
Bagaimanapun, tertuduh yang sudah tujuh tahun tinggal di negara ini merayu supaya hukumannya diringankan memandangkan dia telah ditahan sejak empat bulan lalu dan bimbangkan keadaan ibu serta dua anaknya di negara asal.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh. Kegagalan membayar denda tersebut menyebabkan hukuman penjara terhadapnya ditambah kepada tiga bulan.
Dalam pada itu, Zulhazmi turut memerintahkan wang tunai bernilai RM249 dilucuthakan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN










