KUALA LUMPUR: Sikap tidak peduli masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman dilakukan Israel memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.
Wisma Putra berkata, ketidakpedulian itu akan menggugat aturan dunia yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia menggesa agar masyarakat masyarakat antarabangsa, termasuk anggota Konvensyen Genosid untuk mengambil langkah-langkah yang perlu.
“(Ini) untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.
“Keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, rasa hormat dan selamat pada masa hadapan,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Israel kini sudah menyerang beberapa kem perlindungan Palestin di Tai as-Sultan, Jabalia, Nuseitrat dan Bandar Gaza dalam tempoh 24 jam hingga mengorbankan hampir 200 orang awam yang tidak berdosa.
Seramai 35,984 rakyat Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak terbunuh serta lebih ramai lagi yang tercedera dalam tempoh 234 hari konflik berlangsung.
Wisma Putra berkata, tindakan Israel tanpa henti dan belas kasihan dengan sengaja menyerang rakyat Palestin melanggar keputusan ICJ pada 24 Mei lalu.
“ICJ menuntut agar serangan tentera di Rafah dihentikan serta-merta.
“Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya,” katanya.











