SEBUT sahaja Oyen, tentu terlintas di fikiran kita dengan imej kucing berbulu warna jingga yang lazim digelar sebagai Abang Long atau ketua
‘gengster’ sesuatu kawasan kejiranan.
Namun, bayangkanlah jika ada lebih 250 ekor haiwan comel itu datang berkumpul dalam satu lokasi, suasana sudah pasti jadi huru-hara sekiranya tercetus insiden di luar kawalan.
Ironinya, senario buruk itu bukan sahaja tidak berlaku, malah ribuan pengunjung pula tertarik melihat keletah mamalia ini yang cukup sopan, tertib serta amat baik mendengar cakap. Itulah yang dapat disaksikan sepanjang Himpunan Oyen Terbesar di Gateway, Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor baru-baru ini.
Acara julung kali itu dianjurkan oleh Kelab Kucing Malaysia dengan berjaya memikat ramai pencinta kucing warna jingga yang juga tipikal
digelar manja di negara kita,sebagai Oyen.

Mereka begitu teruja, menyaksikan gelagat si bulus ini yang terdiri daripada pelbagai baka dan ada kelihatan leka melayan aksi haiwan berkenaan yang ditempatkan dalam sangkar khas.
Menurut Presidennya, Khalid Rashid, program yang mendapat kerjasama operator pusat beli-belah KLIA itu lebih bermatlamat memberikan
pendedahan mengenai kucing tersebut.
“Kami bukan sahaja ada pameran, malah reruai jualan pelbagai produk penjagaan haiwan peliharaan, khidmat nasihat veterinar dan vaksinasi
dengan caj diskaun khas,” katanya.
Turut berlangsung ialah peraduan Jom Mewarna Oyen yang melibatkan kanak-kanak dan paling unik tentunya pertandingan Garfield Look Alike dengan pelbagai hadiah ditawarkan.
Ia diadakan bersempena ulang tahun ke-10 Gateway dengan peluncuran filem animasi komedi The Garfield Movie yang juga bakal ditayangkan di Malaysia akhir Mei ini.
Menariknya, juara dimenangi oleh Hara, milik Adam Zailani, 26, melakar sejarah memandangkan ia kali pertama menyertai acara sedemikian
sekali gus mengenepikan cabaran lebih 200 pesaing.

“Saya cuma berniat bawa kucing ini berjumpa ‘kawankawan’ tetapi tidak sangka menang wang tunai RM500 meskipun hanya baka kampung
tempatan usia empat tahun,” jelasnya.
Sementara itu, tumpuan pengunjung juga terarah kepada kesegakan bertanjak King Oyen milik Sofea Salleh, 51, yang sudah pun memelihara
si bulus tersebut lebih lima tahun lalu.
Kucing jantan campuran kacukan Parsi dan American Short Hair itu turut anggun berbaju Melayu dan berkaca mata serta tidak kekok beraksi
depan kamera ala gaya model fesyen.
Nama King Oyen sebenarnya jelas beliau, diberi warganet setelah tular menerusi wadah media sosial yang memaparkan aksi bersahaja kucing itu yang gemar membonceng basikal dikayuhnya.
“Dia memang kucing jenis suka mendengar kata dan faham apa yang saya cakap selain memang minat ‘melaram’ cantik bagi menarik perhatian orang ramai,” tambahnya.

Tiga tahun lepas, Utusan Malaysia pernah melaporkan kajian oleh firma pengeluar makanan kucing terbesar dunia, Happy Cat menyifatkan nama Oyen amat popular di Malaysia. Syarikat yang berpangkalan di Jerman dan ditubuhkan sejak 1765 itu turut menyenaraikan sembilan nama kucing terlaris di negara ini dengan Oyen sebagai pilihan paling atas.
Jumlah kucing di Malaysia dianggarkan mencecah 900,000 ekor termasuk jalanan tanpa tuan yang juga dilindungi di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Binatang 1953.
Kajian firma antarabangsa Dalia Research beberapa tahun lalu ada mendapati 40 peratus daripada penduduk negara ini memelihara kucing di rumah sendiri secara sepenuh masa.
Ini menjadikan Malaysia berada di tempat keenam di peringkat global daripada 52 negara yang terlibat kajian itu bahkan unggul pertama di benua Asia dan rantau Asia Tenggara.










